PUTRAJAYA – Teruja menanti Ramadan, pelawak Saiful Apek mendedahkan selain menggandakan ibadah, kehadiran bulan puasa membolehkannya kembali kepada rutin bersahur dan berbuka dengan bubur lambuk, kurma dan air panas.
Saiful atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 56, berkata, juadah ringkas tetapi memberi tenaga sepanjang hari itu dinikmati tanpa jemu sepanjang Ramadan sejak zaman kanak-kanak ketika tinggal bersama keluarga angkat.
“Sebenarnya waktu kecil keluarga angkat saya sudah biasa berbuka dan bersahur dengan bubur lambuk, kurma dan air panas. Juadah ini dah jadi sebati dengan saya selepas meningkat dewasa.
“Paling penting saya makan bubur lambuk yang dimasak di rumah atau di masjid. Saya pernah kirim orang beli bubur lambuk di bazar tapi macam terlampau mewah bahan rencah,” katanya kepada kosmo! online ketika ditemui Set Visit Dapur Goodday: Inspektor Sani di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya, semalam.
Menurut pelakon filem Cicakman itu, amalan tersebut turut mendidiknya agar lebih menghayati erti bersederhana, tidak membazir serta refleksi diri.
“Memang itulah diet saya untuk bulan puasa. Rutin yang hanya sebulan dalam setahun itu bukan saja bagus dari segi kesihatan, bahkan saya dapat kekal bertenaga sepanjang berpuasa. Biasanya masa moreh baru saya jamah nasi.
“Ini juga baik dari segi kos harian. Contoh hari lain belanja makan saya RM30 tapi apabila bulan puasa tak meningkat RM60 atau RM50, sebaliknya cuma RM10.
“Jadi, saya rasa sesuailah dengan konsep Ramadan kerana kita tahu ini bulan yang paling banyak berlaku pembaziran selain buatkan kita lebih menghargai rezeki,” ujarnya.
Mengenai situasi andai perlu menghadiri majlis berbuka puasa, bapa kepada dua anak itu memaklumkan tetap memastikan rutin pemakanannya dapat dikekalkan.
“Sebab itu saya elak untuk hadiri acara luar atau saya minta penganjur sediakan bubur lambuk. Tapi saya terbabit dengan NGO (badan bukan kerajaan) yang kerap menyantuni warga emas an anak yatim.
“Kadangkala jadi tak seronok jika ada yang risaukan saya berbuka dengan bubur lambuk saja. Kemudian saya pula naik risau pasal orang risaukan saya,” selorohnya.
Pada masa sama, Saiful memaklumkan tidak pernah jemu dengan juadah ringkas itu memandangkan rutin tersebut hanya diamalkan pada Ramadan.
“Saya tak jemu sebab pada saya konteks sama macam kalau kita ada isteri, jemu ke tengok isteri kita hari-hari? Contoh. Kalau nak cerita konteks jemu.
“Ini adalah istiqamah sebenarnya. Ujian jugalah untuk kita bila tiba bulan penuh rahmat ini sebab kadangkala saya tengok sudah jadi pesta makan,” katanya.





