PETALING JAYA – Penyanyi Sissy Iman kagum dengan keperibadian rakan selebritinya, Amira Othman yang disifatkan pemurah, penyayang dan sangat menjaga kewajipan sebagai Muslimah sejati.
Menurut Sissy atau nama sebenarnya Sissy Imann Mohammad Kamil, 30, kebaikan Amira sukar digambarkan dengan kata-kata kerana terlalu banyak sifat murni dimiliki sahabat baiknya itu.
“Amira ini masya-Allah, sungguh baik orangnya. Antara kebaikan yang ramai tidak tahu, dia memang pemurah.
“Ketika di set penggambaran, tiba-tiba sahaja dia belanja semua orang makan dan minum. Jumlahnya sampai kami rasa kekenyangan sepanjang hari. Itulah Amira, seorang insan yang sentiasa murah hati,” katanya dalam TikTok.
Tambah pelantun lagu Bebas itu, Amira juga seorang individu yang menjaga solat biarpun sibuk dengan jadual padat, lebih-lebih lagi ketika mereka bekerja di luar negara.
“Amira sangat menjaga solat. Jadual penggambaran kami kadang-kadang penuh dari pagi sampai malam, tapi dia tetap utamakan ibadah.
“Dia sanggup kurangkan minum air supaya wuduk kekal terjaga. Boleh tahan tidak ke tandas semata-mata nak pastikan solat berjalan lancar. Itu yang buat saya benar-benar kagum.
“Bila kita berjalan dengan dia, kita pun turut dapat rasa sifat-sifat baik itu. Saya gembira untuk dia, dan saya rasa sangat beruntung ada kawan seperti Amira,” ujarnya.
Paling penting kata Sissy, pelantun lagu Bila Nak Kahwin? itu sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan.
“Orang kata kalau nak kenal seseorang, pergilah mengembara dengannya. Saya pernah ‘travel’ bersama Amira dan duduk sekali.
“Dalam beg dia, macam-macam ubat ada. Panadol, minyak angin, ubat pening kepala, semua tersedia. Bila sesiapa perlukan, dia hulurkan tanpa berkira. Itu sifat yang buat saya semakin menghargai dia,” tuturnya.
Terdahulu, Sissy pernah berkongsi rasa berdebar apabila diberi tanggungjawab mengacarakan majlis perkahwinan Amira dan Fattah Amin yang dianggap ramai sebagai ‘wedding of the year’.
Baginya, semua itu bukan sekadar tugas, sebaliknya amanah penuh bermakna buat seorang sahabat.
Sumber – KOSMO! ONLINE