Hasil Bedah Siasat Arwah Zayn, Terdapat Kesan Kecederaan Pertahankan Diri

0
168
Foto: Kosmo

PETALING JAYA, 8 Disember- Polis percaya kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemukan meninggal dunia di aliran anak sungai di Damansara Damai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya diletakkan di anak sungai berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak berusia enam tahun itu meninggal dunia dalam tempoh 48 jam sebelum mayatnya ditemukan.

Beliau kata, setelah mengambil kira hasil bedah siasat, polis merumuskan mangsa tidak mati akibat lemas, tetapi dibunuh di tempat lain.

“Dalam konteks ini (punca kematian) saya rasa elok saya sebut bedah siasat menemui defensive wound (kecederaan akibat mempertahankan diri),”katanya.

Mohd Shuhaily berkata, selain kecederaan di leher dan badan mangsa, terdapat juga kecederaan mempertahankan diri.

“Demi menjaga maruah allahyarham dan keluarga saya rasa memadai saya cakap itu sahaja,” katanya kepada pemberita ketika di temui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya malam tadi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati aliran anak sungai itu bukan laluan kebiasaan masyarakat setempat, namun tidak menolak kemungkinan suspek memahami selok-belok lokasi kejadian terbabit.

Beliau tidak menolak kemungkinan suspek dalam kejadian tersebut melibatkan individu yang tinggal di kawasan kejadian, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Pihak polis bersama masyarakat setempat telah mencari dan melalui tempat sama selama dua hari, tidak menemukan mangsa tetapi dijumpai pada hari kedua lewat malam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkannya bagi membantu siasatan,”katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here