Harimau Belang Ditemukan Mati Dilanggar Kenderaan Di Bentong

0
54
Foto: Utusan

Kuala Lumpur: Seekor harimau belang dewasa dilaporkan mati akibat dirempuh kenderaan berhampiran Lentang, Bentong, Pahang.

Kejadian dipercayai berlaku awal pagi tadi sebelum penemuan harimau belang itu dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang.

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim yang dihubungi Harian Metro mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 4 pagi tadi.

Menurutnya, harimau belang dewasa itu dianggar berusia lebih lima tahun berdasarkan saiz tubuh haiwan berkenaan.

“Pihak Perhilitan berada di lokasi untuk menjalankan siasatan terhadap punca insiden dan jantina. Bangkai harimau belang itu akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk tindakan lanjut.

“Difahamkan masih terdapat harimau belang mendiami hutan simpan berhampiran lokasi kejadian. Insiden ini amat mendukakan berikutan bilangan harimau belang di negara ini yang semakin berkurangan,” katanya.

Dalam kejadian 9 November tahun lalu, seekor harimau belang turut mati dilanggar sebuah treler, di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Hentian Sebelah Gua Tempurung Gopeng.

Harimau belang berusia antara lapan hingga 10 tahun itu adalah haiwan yang dilaporkan sebelum ini menyerang ternakan dan menimbulkan kegusaran penduduk sekitar Kampar.

Manakala pada 21 Mac lalu, Seekor harimau dahan ditemui mati dipercayai dilanggar kenderaan di Kilometer 253.3, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Trong menghala ke Beruas, Perak.

Bangkai harimau dahan seberat 20 kilogram itu sudah busuk dan dipercayai dilanggar kenderaan dua hari sebelum ditemui.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here