Harga Tiket Zoo Johor Dijangka Naik, Tapi Masih Kekalkan Harga Termurah Di Malaysia

0
39
Foto: Berita Harian

ISKANDAR PUTERI: Harga tiket Zoo Johor dijangka ‘naik sedikit’ sempena pembukaan semula yang dijadualkan pada Ogos depan selepas pelaksanaan kerja-kerja naik taraf.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, ketika memaklumkan perkara itu bagaimanapun memberi jaminan kadar kenaikan itu akan sangat minimum dengan mengekalkan statusnya sebagai harga tiket zoo termurah di Malaysia.

“Kerajaan Johor akan tetap menawarkan harga tiket Zoo Johor yang murah kepada warga tempatan, walaupun dijangka berlaku kenaikan sedikit.

“Begitupun, harga tiket Zoo Johor untuk warga asing akan dinaikkan dua kali ganda berbanding harga lama,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kadar kenaikan harga tiket itu, sebaliknya menjelaskan ia akan diumumkan sempena pembukaan semula Zoo Johor nanti.

Februari lalu, Mohd Jafni dilaporkan berkata, harga tiket masuk Zoo Johor sebelum ini ialah RM2 untuk dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak, sekali gus merupakan harga tiket zoo yang termurah bukan saja di Malaysia tetapi juga di Asia.

Mengulas lanjut berhubung pembukaan semula Zoo Johor yang dijadualkan pada Ogos depan selepas ditangguhkan April lalu pula, Mohd Jafni berkata, pelaksanaan kerja naik taraf berjalan lancar dan sudah mencapai 80 peratus, setakat ini.

Beliau berkata, kini hanya berbaki 20 peratus lagi kerja naik taraf yang membabitkan bumbung laluan pejalan kaki dan kerja landskap.

“Saya sudah membuat tinjauan di Zoo Johor pada minggu lalu, dan kerja kritikal termasuk membabitkan tembok serta sistem kumbahan, telah selesai dijalankan.

“Insya-Allah, semuanya berjalan dengan baik dan ia akan dibuka kepada awam pada Ogos depan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pembukaan semula Zoo Johor yang dijadualkan pada bulan lalu terpaksa ditangguhkan ke Ogos depan berikutan ada beberapa kerja naik taraf luar jangka sedang dilakukan.

Mohd Jafni dipetik berkata, kerja-kerja naik taraf luar jangka itu membabitkan kos tambahan sebanyak RM1.1 juta.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here