Harga Rumah Kini Mencecah RM582,887, Lebih Baik Beli Atau Terus Sewa?

0
64

PETALING JAYA – Purata harga jualan kediaman baharu di negara ini meningkat untuk mencecah RM582,887 pada suku pertama tahun 2024, manakala purata harga rumah terpakai (subsale) adalah RM521,614, menurut Laporan Pasaran Jualan Kediaman oleh Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kashif Ansari berkata, paras tersebut sedikit lebih tinggi berbanding purata harga kediaman yang dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) untuk 2023 pada RM467,144 seunit.

Jelasnya, Kuala Lumpur terus menawarkan harga jualan kediaman tertinggi dengan purata RM801,557 untuk rumah baharu, dan RM708,462 untuk rumah terpakai.

“Selepas Kuala Lumpur, tiga negeri dengan harga rumah baharu tertinggi ialah Johor, Sabah dan Sarawak. Sementara tiga negeri dengan harga jualan rumah terpakai paling mahal ialah Sarawak, Sabah dan Johor.

“Melaka merupakan negeri yang memberikan harga purata jualan rumah baharu paling rendah pada RM305,463, manakala negeri dengan purata harga jualan rumah terpakai paling rendah ialah Terengganu, pada RM293,714,” katanya.

Menurut Kashif, ketika purata harga jualan mengalami peningkatan, kebanyakan pembelian berlaku pada julat harga lebih rendah pada suku tahun lalu, dengan lebih separuh pembeli rumah baharu membayar RM500,000 atau kurang, manakala hampir separuh pembeli rumah terpakai membayar pada paras harga sama.

Tambahnya, masih terdapat asas baik buat rakyat Malaysia untuk membeli rumah berban­ding terus menyewa.

“Kadar faedah purata untuk pembiayaan kediaman baharu adalah 4.2 peratus pada hujung tahun lalu, menurut Bank Negara. Sekiranya pembeli mele­takkan wang pendahuluan RM30,000 untuk kediaman berharga RM300,000, bayaran bulanan mereka adalah RM1,228 sebulan.

“Ini menjadikan pembelian rumah mampu milik jauh lebih murah daripada purata sewa pada RM1,975,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here