Harga Minyak Masak Botol Kekal

0
36
Foto: Utusan Malaysia

PUTRAJAYA, 8 Disember- Kerajaan bersetuju mengekalkan harga runcit maksimum minyak masak sawit tulen dalam botol sebagai usaha membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan, harga minyak masak botol bagi satu kilogram (kg) kekal pada harga RM6.90, 2kg pada RM13.30, 3kg (RM19.60) dan 5kg (RM30.90).

Harga tersebut berkuat kuasa hari ini sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Beberapa langkah proaktif telah diambil bagi membantu pengguna dari terkesan dengan sebarang isu kenaikan harga yang tidak munasabah, melalui inisiatif-inisiatif Kerajaan MADANI.

“Antara inisiatif ini adalah mengekalkan harga runcit maksimum bagi minyak masak tulen dalam botol menerusi Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No.13) 2023,” menurut kenyataan oleh KPDN, hari ini.

Mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan mengikut bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Jika sabit kesalahan, seseorang individu boleh dikenakan denda hingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat boleh didenda hingga RM500,000.

“Kerajaan akan terus memantau dan melaksanakan penguatkuasaan serta menggalakkan pengguna agar menjadi mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDN termasuk harga runcit minyak masak sawit tulen di pasaran,” kata kenyataan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here