SYARIKAT perkakas bilik mandi, Kohler bakal memperkenalkan mangkuk tandas duduk (bidet) pintar PureWash E930.
Berbeza dengan tempat duduk bidet yang lain, syarikat berusia 151 tahun itu menampilkan inovasi terkini menggabungkan tandas duduk dengan Amazon Alexa atau Google Assistant.
Inovasi itu menjadikan tandas duduk itu dikawal dengan suara tanpa perlu menggunakan tangan untuk mengoperasikan fungsi-fungsinya.
Dalam erti kata lain, teknologi itu membolehkan pengguna bercakap dengan mangkuk tandas.
Menurut kenyataan dari Kohler, mangkuk tandas PureWash E930 juga membawakan kelainan dalam pembersihan peribadi dengan reka bentuk yang tipis dan selesa.
“PureWash E930 boleh membuka dan menutup penutupnya tanpa penggunaan tangan. Ia juga mempunyai mod pembersihan diri dengan menggunakan cahaya UV terbina di dalamnya.
“Menggunakan Amazon atau Google Home, anda juga boleh mengawal fungsi-fungsi tandas duduk pintar bebas tangan ini dengan menggunakan suara.
“Operasi seperti semburan dan pembersihan UV juga boleh dilaksanakan atas arahan suara anda,” katanya.
Produk itu diketengahkan dalam Consumer Electric Show 2024 di Amerika Syarikat baru-baru ini.
Tambahnya, aksesori bilik air ini juga dilengkapi mod basuh depan dan belakang, tempat duduk yang boleh dipanaskan dan alat kawalan jauh.
Bidet ini juga secara automatik menyemburkan mangkuk tandas untuk menjamin kebersihan tandas sebelum digunakan.
Kongsinya lagi, suhu dan tekanan airnya boleh laras dan pengguna boleh memilih pelbagai jenis semburan mengikut keselesaan masing-masing.
“Mod semburan rangsangan (belakang sahaja) akan secara automatik menaikkan hos bahagian belakang anda kepada tetapan tekanan maksimum.
“Terdapat juga mod kanak-kanak, yang menyediakan ‘basuhan lembut’ untuk si kecil.
“Apabila tiba masa pengeringan, sistem udara panas dengan tetapan suhu boleh laras akan berfungsi secara automatik,” ujarnya.
Jelasnya lagi, tempat duduk bidet tersebut turut mempunyai lampu LED untuk menukar tandas menjadi lampu malam.
Tempat duduknya turut boleh dibuka dengan mudah, menjadikan ia boleh ditanggalkan untuk pembersihan yang lebih terperinci di setiap sudut bidet.
Sumber: Kosmo