Hangus Terbakar, Persiapan Aidilfitri Bertukar Suram

0
116
Foto: Berita Harian

KUCHING: Suasana Aidilfitri kali ini semestinya suram buat Haziarul Ramlee, 30, selepas kediamannya di Kampung Haji Baki, di sini, musnah dalam kebakaran pada 22 Mac lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi itu turut memusnahkan tiga kediaman lain menyebabkan 23 penghuninya hilang tempat tinggal.

Hazairul berkata, meskipun kebakaran itu berlaku pada awal Ramadan, semua persiapan untuk menyambut Aidilfitri yang disediakan lebih awal rentung bersama kediamannya.

“Ini ujian paling berat untuk kami, namun kami pasrah dengan takdir, apa pun saya bersyukur kerana keluarga saya terselamat dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui di tapak rumah mereka yang musnah.

Hazairul berkata, ketika ini dia dan keluarga menumpang di rumah saudara yang terletak bersebelahan tapak rumahnya yang musnah.

“Kami kini sibuk membersihkan tapak rumah dengan harapan dapat membina kediaman baharu dalam masa terdekat,” katanya.

Difahamkan, rumah Hazairul sekeluarga paling ramai penghuni dengan 11 orang semuanya, manakala tiga lagi rumah jirannya iaitu Udin Ismail didiami tiga orang, manakala kediaman Zaidil Bujang dan Norhanieah Jidil masing-masing empat dan lima penghuni.

Kerajaan negeri hulur bantuan

Sementara itu, bapa Hazairul, Ramlee Ja, 67, bersyukur apabila kerajaan Sarawak menghulurkan bantuan untuk membina baharu empat rumah yang musnah itu.

“Syukur alhamdulillah kerajaan sedia membantu meringankan beban kami untuk membina rumah baharu.

“Rumah kami musnah sepenuhnya dalam kejadian itu dan kami pula tinggal sehelai sepinggang, namun nasib baik dokumen peribadi sempat diselamatkan,” katanya.

Bantuan kerajaan Sarawak sebanyak RM70,000 untuk setiap rumah diumumkan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah ketika melawat mangsa kebakaran itu, baru-baru ini.

Fatimah berkata, bantuan akan disalurkan dalam bentuk pembinaan rumah, bukan wang tunai dan Pejabat Residen Bahagian Kuching akan menguruskan pembinaan termasuk urusan tapak bersama Jabatan Tanah dan Survey (JTS).

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here