Guru Besar Mengaku Tidak Bersalah Terima Rasuah, Pilih Tender Syarikat Isteri

0
76
Foto: Kosmo

KOTA BHARU – Seorang guru besar sebuah sekolah di Tanah Merah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan menerima rasuah sebanyak lebih RM8,000 apabila menggunakan jawatannya dengan memilih syarikat milik isterinya bagi membekalkan pelbagai tender bekalan peralatan sekolah, dua tahun lalu.

Tertuduh, Zailani Harun, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut 10 pertuduhan itu, tertuduh didakwa menggunakan jawatan sebagai guru besar untuk mendapatkan suapan sebanyak RM8,032.30 dengan memilih syarikat milik isterinya, Rabbiatul Adawiyah Mustafar untuk membekalkan peralatan pejabat sekolah, peralatan sekolah, perkhidmatan bekalan Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum sesi 2021/2022 dan perkhidmatan bekalan untuk sekolah.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di sebuah sekolah di Tanah Merah dekat sini pada 10 Januari 2021 hingga 5 Julai 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Tengku Nurul Haziqah menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 untuk kesemua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Zailani dalam rayuannya memohon ikat jamin itu dikurangkan dengan memberi alasan bahawa dia sudah berkhidmat selama 33 tahun sebagai warga pendidik.

“Saya juga menanggung empat orang anak yang masih bersekolah dan menjaga kedua ibu bapa,” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan selain menetapkan 20 November depan untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah. 

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here