MELAKA – Gudang kopi jenama tempatan, Aik Cheong di Taman Teknologi Cheng, dekat sini terbakar dalam kejadian lewat malam tadi.
Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc. Zulkhairani Ramli berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 9.59 malam menerusi talian MERS 999.
Katanya, sepasukan 23 pegawai dan anggota bersama-sama empat jentera dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kita dapati gudang milik syarikat Aik Cheong Beverage Industries Sdn. Bhd. bekeluasan 7,200 meter persegi telah terbakar 90 peratus.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 11.05 malam, namun sehingga kini operasi masih dilakukan untuk memadamkan sisa bara,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan.
Ujarnya, punca kebakaran gudang tersebut masih lagi dalam siasatan oleh pasukan forensik.
Sumber: Kosmo