MOSCOW – Sebuah mahkamah Russia mendenda syarikat Google yang beribu pejabat di Menlo Park, California sebanyak AS$2 ‘decillion’ (RM8.73 ‘decillion’) kerana membuang sebilangan saluran di platform YouTube miliknya, lapor portal berita Fox News semalam.
Agensi berita negara Tass melaporkan, Google berhutang kepada kerajaan Russia sebanyak AS$2 ‘decillion’ yang mempunyai 33 angka sifar.
“Google telah dibicarakan oleh sebuah mahkamah Russia untuk liabiliti pentadbiran di bawah Artikel 13.41 Kod Kesalahan Pentadbiran kerana memadamkan saluran pada platform YouTube,” kata seorang peguam, Ivan Morozov kepada Tass.
Menurutnya, mahkamah Russia mengarahkan Google memulihkan semua kandungan itu.
Menurut Morozov, keputusan itu menetapkan bahawa jika Google tidak membayar denda dalam tempoh sembilan bulan, jumlahnya akan berganda setiap hari.
Keputusan itu juga menetapkan bahawa Google akan dibenarkan kembali ke Russia hanya selepas mematuhi keputusan mahkamah.
Google tidak membalas untuk mendapatkan komen berhubung keputusan tersebut.
Sumber – Agensi