DUA dekad mengharungi sepak terajang arena seni menjadikan Nidji sebuah jenama yang cukup kebal untuk berdepan sebarang cabaran sepanjang mengukuhkan ‘rumah’ yang dibina atas dasar cinta terhadap muzik.
Bagai sebuah cerita cinta, langkah Nidji bagaimanapun tersentak seketika apabila vokalis band itu, Giring Ganesha mengambil keputusan berundur pada 2019 demi fokus terhadap kerjaya politik.
Namun perancangan Tuhan adalah sebaik-baik aturan apabila penyertaan penggantinya, Yusuf Ubay, 28, yang mempunyai vokal tersendiri terus meletakkan band tersebut pada posisi sekarang.
Begitupun, seperti diluahkan anggota asal merangkap gitaris, Ramadhista Akbar, Nidji ibarat sebuah rumah tangga dengan enam ‘kepala’ dan kerukunan adalah asas keutuhan mereka.
Bagi pemuzik berusia 40 tahun itu, sebagai keluarga, segala ujian yang datang perlu dihadapi bersama dengan mencari penyelesaian sekali gus menguatkan ‘rumah’ mereka.
“Pada 2019, kami juga diuji kerana pandemik Covid-19 yang turut dialami semua orang. Apapun segala hal yang berlaku ketika itu menjadikan kami lebih matang dan lebih memahami antara satu sama lain.
“Sejujurnya, menyatukan enam ahli bukan hal mudah kerana setiap individu punya pemikiran dan selera berbeza tapi namanya sebuah band, kami anggap Nidji ini adalah rumah. Sudah pasti kami sendiri perlu pastikan rumah ini sentiasa dalam keadaan baik.
“Bagi setiap permasalahan pula, itu memang tidak dapat dielakkan kerana kita manusia mana sempurna, cuma kami cuba selesaikan setiap isu segera. Rumahtangga itu kan selalu melengkapi satu sama lain,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Nidji 2.3: The New Chapter, baru-baru ini.
Berbicara mengenai konsert, Nidji yang turut dibarisi Andro Regantoro (bes), Andi Ariel Harsya (gitar) dan Adriana Prakarsa (dram) teruja untuk beraksi di Axiata Arena Bukit Jalil pada 2 Februari tahun depan.
Keseronokan berganda kerana Nidji 2.3: The New Chapter yang dibawakan MND Sport & Event direalisasikan bersempena ulang tahun ke-23 penubuhan band asal Jakarta itu.
“Kami kerap diundang menjayakan konsert bersama penyanyi dan band lain dengan yang terbaharu di Sepang bersempena MotoGP. Setiap kali berkunjung ke sini sambutannya luar biasa.
“Apabila dipelawa mengadakan konsert mega selepas kali terakhir beraksi di Kuala Lumpur 18 tahun lalu, ibaratnya bagai bulan jatuh ke riba,” ujar Adriana pula.
Populariti Nidji sebenarnya kembali melonjak apabila lagu Sumpah & Cinta Matikuyang menjadi runut bunyi filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck sekitar 2013 viral dalam aplikasi TikTok.
‘Busking’ di Bukit Bintang
Tidak hairan apabila sesi promosi konsert yang bermula di Bukit Bintang sebelum ke lokasi lain di ibu negara baru-baru ini meraih kehadiran lebih 1,000 peminat.
Yusuf Ubay selaku vokalis pengganti Giring pula terharu melihat lautan manusia membanjiri kawasan segi tiga emas itu sepanjang Nidji ‘busking’ membawakan lagu Sumpah & Cinta Matiku, Hapus Aku, Laskar Pelangi dan Biarlah.
Menyambung semula perancangan konsert, Ramadhista mendedahkan beberapa lagu daripada album baharu bakal diperdengarkan kepada khalayak di Malaysia.
“Akhirnya selepas dua tahun memerah idea, album baharu Nidji bakal dilancarkan sebulan sebelum konsert di Axiata Arena yang kami sifatkan sebagai hadiah buat semua.
“Setiap anggota menyumbangkan lagu yang kemudian kami dengar bersama-sama sebelum memberikan keputusan seleksi mana akan dimasukkan di dalam album.
“Pengalaman sepanjang menyempurnakan album ini memang luar biasa, apatah lagi tempoh diambil agak lama. Judulnya juga belum dapat kami kongsikan, tunggu nanti,” ulasnya.
“Kami kumpulkannya menjadi sebuah cerita dalam album dan segala cerita itu mampu memberikan inspirasi buat anak muda lain,” luah Andro pula.
Ditanya lagi mengenai Giring yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan dalam Kabinet Merah Putih bawah pimpinan Presiden Prabowo Subian, Ramadhista sebenarnya enggan berbicara banyak soal kerjaya politik Giring.
Katanya, hal sebegitu tidak perlu diulas memandangkan dunia politik merupakan keutamaan Giring sejak dahulu.
Sebagai anggota yang lama yang kekal dalam ‘laskar’ muzik band, dia lebih selesa bercakap mengenai konsert dan masa depan Nidji.
“Ini adalah jalan masing-masing, jadi tidak perlu dijawab lagi. Kalau berbalik ke konteks muzik, kami masih meneruskan bidang ini dan keadaan sekarang juga sudah berbeza.
“Giring sudah berada dalam dunianya, jadi tiada lagi jawapan lain kerana memang sudah menjadi impian dia.
“Kami pula konsisten dalam jalur muzik. Sekarang kami fokus dengan apa yang sudah dibina dan alhamdulillah dapat mencari rezeki selain bersyukur mampu menginspirasikan ramai.
“Kami sudah bahagia dengan perjalanan yang baharu. Cukup kami buatkan pendengar gembira, itu sudah memadai,” ujarnya menutup bicara.
Tiket konsert Nidji 2.3: The New Chapter berharga RM108, RM158, RM168, sehingga RM198 dan RM258 boleh ditempah menerusi laman Ilassotickets.
Sumber – KOSMO! ONLINE