KEMENANGAN Selangor FC ke atas Jeonbuk Hyundai Motors pada aksi Liga Juara-Juara 2 (ACL2) di Stadium Piala Dunia Jeonju, Korea Selatan petang ini bakal melengkapkan pesta buat peminat bola sepak tempatan.
Selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) cemerlang menewaskan Ulsan Hyundai 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit kelmarin, The Red Giants berpeluang untuk membuktikan kualiti Malaysia dan Korea Selatan kini sudah tidak jauh berbeza.
Perkembangan positif bola sepak negara di pentas Asia dan harapan yang diletakkan oleh peminat tempatan juga menjadikan Selangor kini berdepan dua misi berbeza.
Kemenangan kali ini bakal mengesahkan kualiti yang ada pada Selangor dan membuktikan tiga mata pada pertemuan pertama di Petaling Jaya bulan lalu bukan dicapai secara kebetulan ataupun nasib.
Tiga mata akan mengukuhkan kedudukan Selangor di puncak Kumpulan H ACL2 sekali gus membolehkan pasukan menghampiri peluang layak ke pusingan seterusnya.
“Kami sudah lawan Jeonbuk di laman sendiri, jadi kami tidak sabar untuk perlawanan di tempat lawan bagi mendapatkan keputusan terbaik. Mereka adalah pasukan yang bagus dan kami juga sudah lihat aksi mereka pada perlawanan sebelum ini.
“Kami tidak boleh katakan mereka akan turunkan pemain tertentu kerana perlawanan pertama sebelum ini juga agak bagus. Kami datang untuk mendapatkan keputusan yang bagus bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
“Kami tahu kekuatan kami dan pasukan lawan. Kami mahu hasilkan jaringan, jadi kami harus lebih fokus kerana sekarang bermain di tempat lawan,” kata pengendali sementara Selangor, Abdi Hassan.
Pertahanan muda Selangor, Harith Haiqal Adam Afkar menjelaskan, seluruh pasukan kini bercita-cita untuk melepasi peringkat kumpulan.
“Kami akan cuba yang terbaik untuk layak tetapi kami masih ada aksi di tempat lawan. Saya tidak boleh katakan apa lagi tetapi seperti yang saya pegang, kami akan cuba sehabis baik untuk penyokong.
“Jadi kami tidak boleh berasa selesa lagi dengan keadaan sekarang dan paling penting adalah kami kena baiki apa yang masih kurang,” katanya.
Sumber – Kosmo! Online