SUPERMODEL berketurunan Palestin iaitu Gigi Hadid cukup terkesan dengan peperangan yang meletus antara dua negara berseteru, Palestin dan Israel.
Gigi atau nama sebenarnya, Jelena Noura Hadid, 28, berkata, dalam pada dia ingin melihat negara kesayangannya Palestin bebas daripada cengkaman Zionis, tidak pernah terlintas dalam fikiran melihat rakyat Israel menderita.
“Empati saya yang amat mendalam terhadap kesengsaraan yang dialami rakyat Palestin.
“Dalam pada saya punya harapan dan impian untuk Palestin, tiada langsung sekelumit rasa untuk melihat orang Yahudi tercedera,” katanya menerusi hantaran status dalam Instagram.
Menerusi perkongsian sama, Gigi menegaskan, mengorbankan nyawa rakyat yang tidak bersalah tidak senada dengan kempen atau gerakan Free Palestine, lapor Kosmo.
“Tiada kebaikan datang dengan mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah kononnya demi gerakan Free Palestine.
“Kalau kalian disakiti, doa dan takziah daripada saya tak kisahlah sama ada orang Palestin ataupun Yahudi. Siapapun dan di mana pun kalian berada.
“Saya tahu apa yang saya katakan takkan pernah cukup atau mampu menyembuhkan luka dalam ramai orang tetapi saya doa untuk keselamatan nyawa-nyawa yang tidak bersalah,” kata kakak kepada Bella Hadid itu.
Krisis kemanusiaan yang teruk berlaku pantas di Gaza selepas penduduk kini terkepung dengan ramai yang terputus bekalan makanan dan elektrik ketika memasuki hari keenam serangan udara tentera Zionis, lapor saluran berita CNN.
Menurut Kosmo, angka kematian sejak serangan besar-besaran pejuang Hamas ke atas Israel awal Sabtu lalu mencecah 3,000 orang setakat petang semalam dengan lebih 900 rakyat Palestin di Gaza terkorban.
Sumber: Kosmo