PETALING JAYA – Tular di media sosial rakaman video papan pemuka (dashcam) memaparkan tindakan sekumpulan penunggang motosikal Yahama RXZ menggunakan lorong kenderaan di Plaza Tol Segambut, Kuala Lumpur.
Aksi mereka dikatakan lebih samseng apabila sebahagian daripadanya dengan sengaja menolak palang tol sehingga patah ketika hendak melalui lorong SmartTag.
Menerusi video yang dikongsikan pengguna Facebook, Ong Zhi Xiang, waktu dan tarikh yang terpapar pada rakaman dashcam itu adalah sekitar pukul 6.32 petang kemalrin.
Tindakan sekumpulan penunggang tersebut mengundang rasa marah dalam kalangan orang ramai dan rata-ratanya meminta pihak berkuasa segera menyiasat insiden terbabit selain mengenakan hukuman sewajarnya.
Mereka juga dilihat menunggang secara berbahaya dengan cara memotong kenderaan lain secara beriringan sebelum memasuki lorong SmartTag.
“Geng hobi mahal, tapi tiada otak, harap yang terlibat dapat beraya dalam ‘lokap’,” kata Ayuni.
“PDRM (Polis Diraja Malaysia), JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan), sila ambil tindakan tegas untuk ‘puak RZX’ ini. Langgar undang-undang, buat jenayah pula sampai patah palang tol. Dah tangkap, sila ‘update’ kepada netizen ya,” pesan Shahrul. – KOSMO! ONLINE.
Sumber: Kosmo