Saturday, June 15, 2024
HomeBERITAGempa Bumi Umpama 'Kiamat Kecil' Di Marrakesh

Gempa Bumi Umpama ‘Kiamat Kecil’ Di Marrakesh

Marrakesh: “Ketika gempa bumi menggoncang, permukaan bumi terangkat mendadak setinggi lebih dua meter sebelum terhempas. Beratus rumah penduduk di atasnya bagaikan dikisar hingga berkecai,” ujar mangsa, Younos Abdellah, 23.

Dia yang kehilangan ibu dan adik dalam tragedi 8 September lalu membawa penulis melihat sendiri kemusnahan besar kesan gempa bumi berkekuatan 6.8 skala richter itu.

Baginya malapetaka itu tidak ubah seperti ‘kiamat kecil’ yang meranapkan 90 peratus kediaman di kampung Amarzeguame di wilayah Al Haouz di sini.

“Segala apa yang ada di atas permukaan hancur berkecai sekelip mata. Tidak pernah terbayang kawasan kampung di puncak banjaran pergunungan Atlas ini, boleh lenyap sekelip mata,” katanya.

Dia memaklumkan, keadaan kampungnya seperti diletupkan dengan bom apabila hampir 90 peratus rumah berkecai.

“Lihatlah sendiri, kawasan kampung sepanjang 2 kilometer ini tidak ubah seperti bukit serpihan batu dan sampah. Semuanya hancur dan masih sukar dibersihkan tanpa menggunakan jentera berat.

“Saya masih ingat bagaimana enam sekeluarga membabitkan ibu dan lima anak mati tertimbus dihempap binaan rumah dua tingkat.

“Mayat mereka ditemui dalam keadaan amat menyayat hati dan putus pada beberapa bahagian anggota badan.

“Selain mereka 14 lagi mayat penduduk turut dikeluarkan dari celah runtuhan,” katanya.

Dia yang menyifatkan bencana itu sebagai ujian besar Allah SWT terpaksa menerima hakikat kehilangan ibunya, Aicha Abdellah, 60 dan adik perempuannya, Habiba, 18.

Menurutnya, penduduk yang terselamat kini masih berlindung di khemah sementara yang dibina dari sisa runtuhan ditemui.

Sementara itu penulis yang meninjau lokasi pusat gempa bumi mendapati kemusnahan luar biasa berlaku terutama di wilayah Al Haouz, Ouarzazate, Marrakesh, Azilal, Chichaoua dan Taroudant.

Kerosakan dialami amat dahsyat apabila beribu kediaman runtuh hingga membentuk bukit puing di perkampungan Amarzeguame.

Tembok kediaman dan struktur binaan rumah terletak di sekeliling masjid di puncak bukit hancur berkecai membentuk pemandangan memilukan.

Di samping itu, Younos berkata, hanya 20 kematian direkodkan di kampung itu berikutan ramai penduduk masih belum tidur ketika kejadian.

Menurutnya, rata-rata penduduk sedang berborak di luar rumah selepas makan malam sebelum gegaran hebat berlaku.

“Apa yang anda lihat kini adalah bukit sampah dan runtuhan batu. Tiada apa dapat diselamatkan. Kami masih menangisi kehilangan ahli keluarga.

“Sehingga kini, tiada apa dapat kami lakukan. Proses untuk membersihkan tapak tragedi dan membina kediaman baharu akan mengambil masa bertahun lamanya untuk dilakukan,” katanya.

Menurutnya, gempa bumi itu menyebabkan kerosakan besar kepada 20 kampung di pusat gempa di wilayah Al Haouz.

“Raja Mohammed VI mengarahkan penempatan Tentera Diraja Maghribi didirikan di bandar atau kawasan yang terjejas dengan gempa bumi supaya bantuan dapat diberikan.

“Pihak tentera turut menubuhkan hospital lapangan di Moulay Brahim bagi merawat mangsa yang cedera akibat bencana itu,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Terbuka Australia: Lee Zii Jia Hampiri Ke Pentas Final

0
KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia hanya selangkah untuk mara ke pentas final pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia selepas melayakkan...

CATEGORIES