SHAH ALAM – Dikecam gara-gara fesyen ‘menonjolkan’ dada dan seakan-akan biarawati gereja ketika persembahan minggu kelima Famili Duo musim ke-3 (FD3) malam tadi, penyanyi Adira Shuhaimi mengakui terbuka dengan segala kritikan.
Bagaimanapun, jelas pemilik nama penuh Siti Adira Suhaimi itu penampakan tersebut sebenarnya garisan jahitan persalinan berwarna kelabu cair yang diperbuat daripada fabrik jenis PVC.
“Tengoklah benda lain, yang tengok benda itu kenapa? Takkanlah kita biar ‘benda’ itu terkeluar macam itu! Ini fabrik PVC.
“Orang yang tahu akan sedar bahawa pakaian saya ini jenis jahitan PVC, ini adalah fesyen.
“Saya terima semua kritikan dan anggap itu semua perkara yang baik, kalau netizen tidak bercakap begitu, saya sendiri tidak tahu dan sedar,” Katanya kepada Kosmo! Online usai konsert minggu kelima FD3, semalam.
Sementara itu, penyanyi berusia 32 tahun itu turut berterima kasih kepada netizen kerana cakna dan sentiasa peka dengan apa digayakannya yang barangkali kurang sesuai di mata mereka.
“Apapun saya berterima kasih kepada semua netizen kerana peka dan ambil berat tentang saya, saya akan perincikan satu persatu setiap komen.
“Saya akui segala kekurangan pakaian yang saya gayakan malam ini (semalam), saya rasa busana ini sangat cantik namun tidak di mata mereka, tidak mengapa.
“Saya cuba memperbaikinya, insya-Allah minggu depan tidak akan ada lagi orang boleh persoalkan (pakaian), saya akan tampil dengan fesyen lebih ‘vass’. Saya akan buat mereka (netizen) menangis pula,” seloroh Adira.
Pada malam konsert minggu kelima malam tadi, duo adik-beradik Adira dan Emma menyanyikan lagu Menaruh Harapan dan Jangan Kau Mimpi secara medley.
Selain Adira dan Emma FD3 membariskan Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (Duo Sepupu), Tom dan Fuad Rahman (Duo Suami Isteri), Ryan Bakery dan Adam (Duo Adik Beradik) serta Amzah dan Syahir (Duo Adik Beradik).
Program lapan episod itu memilih pemenang mingguan bersandarkan pemarkahan juri sebanyak 70 peratus, manakala undian dalam talian di Tonton membabitkan 30 peratus.
Sumber: Kosmo