KUALA LUMPUR – Satu Garis Panduan Pengoperasian Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) baharu akan diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memantau pengurusan kutipan dan pengagihan royalti kepada penggiat seni.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kerajaan komited memantau dan mengambil tindakan lebih tersusun berhubung masalah hak cipta penggiat seni agar tidak pelanggaran terhadap syarat penubuhan CMO bawah Akta Hak Cipta 1987.
Pada masa sama, garis panduan tersebut turut memberi kuasa kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dalam aspek pengurusan kutipan dan pengagihan royalti bagi meningkatkan ketelusan hak kebajikan penggiat seni.
“Pada masa ini apa yang kita akan kemukakan satu garis panduan dan mengambil tindakan yang lebih tersusun.
“Jika ada pelanggaran terhadap syarat dan akta tersebut, kita akan memuktamadkan dan insya-Allah Disember akan selesai. Kita akan hebahkan kepada semua CMO untuk pengurusan mereka.
“Kita berharap garis panduan ini akan dapat dikuatkuasakan pada April 2025. Ini adalah penyelesaian jangka masa pendek,” katanya ketika ditemui dalam majlis Majlis Sentuhan Kasih Madani KPDN, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Armizan tidak menolak bahawa terdapat beberapa kekurangan berdasarkan Akta Hak Cipta (1987) atau lebih dikenali Akta 332.
“Ada perkara yang perlu ditambah baik, tetapi ada aspek tertentu yang bergantung kepada keperluan artis. Perkara ini juga ada dibincangkan dengan beberapa persatuan artis untuk mendapatkan reaksi mereka.
“Sebagai contoh ada yang mencadangkan penubuhan satu badan CMO tunggal kerana agak sukar berurusan dengan pelbagai CMO. Namun, belum ada penekanan daripada artis.
“Ini kerana ada yang ingin pelbagai CMO agar mereka boleh membuat pilihan. Disebabkan itu kita sedang membuat kajian sebelum membuat pindaan akta,” katanya.
Sementara itu seramai 25 selebriti menerima tunggakan bayaran royalti yang sebelum ini berdaftar di bawah Performers Rights and Interest Society of Malaysia (PRISM) sebagai CMO.
Pengisytiharan PRISM sebagai salah satu CMO di bawah Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) telah dibatalkan pada 3 April 2019 kerana tidak lagi memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan bawah Akta 332.
Susulan itu tunggakan bayaran royalti bagi penggunaan lagu sepanjang 2018 diselia oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl).
Barisan artis yang terlibat antaranya Datuk Nash, Datuk Francissca Peter, Elyana, Iwan Syahman, Zarul Umbrella, Liza Hanim, Bagio, Ayai Ilusi, Datuk Yusni Hamid dan Acong Sweetchild.
Sumber – KOSMO! ONLINE