Gara-Gara Berhenti Di Lorong Kecemasan Punca Penunggang Motosikal Maut

0
189
Foto: Harian Metro

BATU PAHAT: Penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah kereta berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 116.9, Lebuhraya Utara-Selatan, semalam.

Kemalangan berlaku jam 3 petang ketika pemandu kereta terbabit berhenti di lorong kecemasan untuk menjawab panggilan telefon.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata sebelum kejadian mangsa Mohammad Fared Zakaria, 35, menunggang motosikal dari arah Ayer Hitam menuju ke Pagoh.

Sebaik tiba di lokasi, sebuah kereta didapati berhenti di lorong kecemasan kerana pemandunya mahu menjawab panggilan telefon.

“Mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta terbabit. Rempuhan itu juga menyebabkan mangsa parah di kepala serta patah kedua-dua tangan.

“Mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 7.50 malam.

“Pemandu kereta tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulanuar berkata, polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, katanya, polis memohon kerjasama orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini agar dapat tampil membantu siasatan.

“Mereka boleh menyalurkan maklumat atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here