Gaji Konstabel Terlalu Rendah, PDRM Syor Kenaikan Selaras Gaji Minimum

0
36
Foto: Daftar IPT

IPOH, 8 Oktober – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesyorkan supaya skim gaji permulaan bagi Konstabel (YA1) sebanyak RM1,441 diselaraskan dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata selain itu, PDRM turut mengemukakan beberapa cadangan khususnya bagi meningkatkan tahap integriti pasukan.

Beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar kenaikan penambahan 30 peratus daripada kadar kenaikan gaji tahunan (KGT) dan kenaikan satu KGT ‘one off’ bagi kumpulan pengurusan profesional kepada skim pegawai kanan polis iaitu YA13 hingga YA24A.

“Begitu juga kumpulan pelaksana Skim Pegawai Rendah Polis Konstabel daripada Y1 hingga Y10 ini dan Skim Pegawai Kanan Polis dan Konstabel Orang Asli, YP1 hingga Y10, yang kita minta kenaikan 30 peratus KGT dan juga ‘one off’ atas KGT,” katanya.

Razarudin berkata pihaknya turut mencadangkan supaya kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) yang diterima pegawai dan anggota berbeza mengikut kategori bandar, pinggir bandar dan luar bandar, diselaraskan.

“Gaji yang diterima anggota berpangkat rendah adalah kecil, selain tidak setimpal dan tidak mampu menampung kos sara hidup terutama bagi mereka yang bertugas di bandar besar,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WBC/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) di Lapang Sasar Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta.
 
Turut hadir, Pengarah KDNKA Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali, Timbalan Pengarah KDNKA WCB/PSK Bukit Aman SAC Azlin Sadari serta Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here