Gagal Patuhi Peraturan, 3 Premis Bazar Ramadhan Diarah Tutup

0
42
Foto: MalaysiaGazette

PUTRAJAYA: Sebanyak tiga premis makanan diarah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 menerusi Operasi Kebersihan dan Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, ia hasil pemeriksaan 43,304 premis di 1,299 lokaliti bazar seluruh negara sepanjang tempoh 12 Mac hingga 5 April lalu.

“Selain itu, sebanyak 1,639 Notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dengan nilai kompaun dianggarkan berjumlah RM163,900 telah dikeluarkan kepada pemilik premis, wakil premis dan pengendali makanan atas pelbagai jenis kesalahan.

“(Kesalahan) seperti tidak menjalani latihan pengendali makanan, tiada suntikan anti-tifoid dan pakaian pengendali makanan yang tidak mematuhi keperluan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, KKM menerima sebanyak 29 aduan berkaitan makanan yang dijual di bazar Ramadan bagi tempoh sama dengan 20 aduan selesai disiasat manakala sembilan aduan masih dalam proses siasatan.

Tindakan perundangan telah diambil dan pendidikan keselamatan makanan diberikan kepada pengusaha premis terlibat.

“Bagi pengendali makanan pula, seramai 85,903 pengendali makanan telah diperiksa di mana 94.2 peratus mempunyai suntikan anti tifoid dan 87.4 peratus telah menghadiri latihan pengendali makanan,” menurut kenyataan itu.

Bersempena lebaran yang akan tiba, KKM menasihatkan pengguna dan orang ramai untuk sentiasa peka dan mengutamakan aspek keselamatan makanan.

Ini termasuk memastikan amalan pengendalian makanan yang bersih sentiasa diamalkan terutama semasa menyediakan juadah hari raya atau ketika menganjurkan rumah terbuka.

Di samping itu, sentiasa amalkan kebersihan diri seperti membasuh tangan dengan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, sebelum makan serta selepas ke tandas.

“Sila amalkan ‘Perhati dan Pilih’ sebelum membeli apa-apa juadah serta amalkan ‘Lihat, Hidu dan Rasa’ sebelum makan. Jadikan langkah mudah ini sebagai amalan untuk mengelakkan keracunan makanan,” menurut kenyataan itu.

Bagi sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.

Mereka juga boleh melayari laman sesawang serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) di http://moh.spab.gov.my atau https://www.facebook.com/bkkmhq.

Sumber: Buletin TV3

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here