Seorang pelajar perempuan gagal mengawal kemarahannya apabila bertindak mengasari rakan sekelasnya dalam satu kejadian yang berlaku di sebuah sekolah dipercayai dekat Semenyih, Selangor pada Jumaat.
Menurut Majoriti, insiden itu dikatakan berpunca selepas gambar peribadinya disebarkan secara meluas di laman TikTok tanpa izin dan pengetahuan pelajar berbaju kurung terbabit.
Geram dengan perbuatan tersebut, dia kemudiannya tampil dengan perlakuan ganas apabila terus menampar dan menengking rakan sekelasnya di khalayak ramai.
Cuba dileraikan beberapa pelajar lain, namun ia tidak diendahkan oleh individu terbabit yang terus memberikan amaran keras dan menyoal berhubung perkongsian gambar tersebut.
Dalam sebuah video berasingan di laman media memaparkan kedua-duanya telah pun bersemuka dan turut hadir bersama adalah penjaga kepada mangsa pukul tersebut.
Berdasarkan Majoriti, permohonan maaf secara terbuka telah dibuat oleh pelajar yang berpelakuan ganas itu, namun difahamkan kedua-dua ibu bapanya akan dipanggil untuk berbincang lanjut tentang hal terbabit.
Jelasnya, kelakuan kasar itu tercetus selepas dia gagal menahan diri daripada marah dan terus bertindak tanpa memikirkan akibatnya.
Belum ada kenyataan polis berhubung perkara itu setakat ini dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden berkenaan.
Sumber: Majoriti