SUNGAI BULOH – Bertebaran dakwaan rumah tangganya dengan Kamal Adli sedang bergolak, pelakon Uqasha Senrose menangkis spekulasi itu sekeras-kerasnya selain tertanya-tanya dari mana datangnya tuduhan liar sebegitu.
Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nik Sen, 32, berkata setiap perkahwinan pasti berdepan ujian sekali gus bukan sesuatu yang pelik apabila berlakunya salah faham atau rajuk.
“Dalam rumah tangga ada naik dan turun. Selagi tidak sampai tahap ke mahkamah, itu adalah perkara biasa.
“Nak kata bahagia selalu pun tidak, nak kata sedih juga tidak. Kami baru dikurniakan anak pertama dan masih bergelut menyesuaikan diri. Gaduh-gaduh kecil itu biasalah, mana ada pasangan 24 jam bahagia.
“Bekerja dan jaga anak, kali pertama kami lalui. Bergaduh kecil sahaja, misalnya saya suruh basuh tangan sebelum pegang anak,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Bisikan Dosa, di sini, semalam.
Mengakui bukan mudah untuk untuk terus kuat berhadapan ujian sehari-hari namun Uqasha dan suaminya tetap berusaha memperbaiki kelemahan diri dan terus mencuba yang terbaik.
“Ajal dan maut di tangan Tuhan. Bila diuji, nak pertahankan terletak kepada kekuatan pasangan suami isteri. Semuanya Allah uji.
“Jadi, nak bertahan bukanlah mudah. Susah nak bertahan dengan ujian rumah tangga dengan mulut orang luar lagi. Apapun, mental kena kuat, lebih-lebih lagi, saya baru bersalin,” katanya.
Enggan emosi dan mentalnya terganggu dek gosip rumah tangga, pelakon filem Paku Pontianak itu sedaya upaya mengelakkan diri daripada memikirkan mahupun membaca dakwaan tidak berasas itu.
“Bila sudah beranak dan jadi ibu, jaga emosi paling penting. Gosip bukan-bukan saya tolak ke tepi.
“Saya dan Kamal bergurau dan bergelak ketawa sahaja di rumah bila dengar orang cakap rumah tangga kami bergolak. Kami langsung tak ambil serius,” ujarnya,
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 32, dan Kamal diijabkabulkan pada 5 November 2021 selepas dua tahun bercinta.Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang dilahirkan pada April lalu.
Sumber – KOSMO! ONLINE.