Gadis Melayu Jangan Mudah Terpedaya Promosikan Pinjaman Haram

0
37
Foto: Harian Metro

Kuala Lumpur: Menggunakan gadis Melayu bagi mempromosikan tawaran pinjaman di media sosial.

Itu antara taktik baharu digunakan sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau along yang menyasarkan individu terdesak menggunakan wang pada musim perayaan ini.

Sindiket dipercayai menggunakan gambar gadis Melayu bagi meyakinkan orang ramai terutama orang Islam kononnya pinjaman diberikan ‘patuh syariah’.

Malah bagi lebih meyakinkan, gadis terbabit turut bersiaran langsung di TikTok sambil mempromosikan pinjaman.

Taktik lain digunakan ialah kelulusan segera, tidak perlu dokumen, pinjam RM500 dapat RM1,000 selain kadar bayaran pinjaman bulanan yang rendah.

Individu yang berminat perlu menghantar mesej peribadi (DM) pada akaun media sosial berkenaan yang akhirnya menjerat mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tindakan mempromosikan pinjaman di media sosial itu adalah taktik pemberi pinjaman haram atau along.

Beliau berkata, mereka yang menawarkan pinjaman peribadi sedemikian adalah kesalahan mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

“Polis boleh mengambil tindakan atas sebarang aktiviti promosi pinjaman tidak berlesen dan kita menasihati individu yang terbabit supaya menghentikan perbuatan itu.

“Sindiket akan menggunakan pelbagai taktik bagi menjerat mereka yang terdesak untuk mendapatkan wang dengan kadar segera pada musim perayaan ini,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, pihaknya menjangkakan berlaku peningkatan kes penipuan pinjaman wang selepas musim perayaan.

Katanya, orang ramai dinasihati tidak terpedaya dengan sebarang taktik promosi pinjaman di media sosial bagi mengelak menjadi mangsa.

“Orang ramai perlu berhati-hati dalam keghairahan menyambut perayaan, hendaklah ukur baju di badan sendiri.

“Amalkan berjimat-cermat dalam suasana perayaan dan tidak mendekati mana-mana pemberi pinjaman wang untuk mendapatkan pinjaman segera kerana pengakhirannya akan membawa bencana,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here