PETALING JAYA – PELAKON sensasi, Fatiya Latiff menafikan dirinya menghidap penyakit mental seperti yang didakwa ramai selepas mencetuskan provokasi terhadap pasangan pelakon Zahirah MacWilson dan Aiman Hakim Ridza baru-baru ini.
Menurut Kosmo, menjawab pertanyaan netizen dalam sebuah video, Fatiya, 36, berkata, dia alan ditempatkan di wad psikiatri sekiranya mempunyai masalah mental.
“Saya tidak mental. Kalau sakit mental, saya sepatutnya sudah berada di Hospital Tanjung Rambutan, Perak tetapi saya masih di sini.
“Saya tidak sakit,” katanya dalam sebuah video TikTok.
Dalam pada itu, Fatiya atau nama penuhnya Nur Fatiya Abdul Latiff itu berpendapat dirinya bukanlah artis kurang popular atau sendu seperti yang didakwa segelintir individu.
“Kalau saya sendu, saya tidak akan jadi viral.
“Lihatlah jumlah penonton video saya. Kenapalah anda semua buat begini kepada kaum sejenis.
“Betullah bapa saya cakap, orang Melayu memang suka dengki,” ujarnya.
Berdasarkan Kosmo, sejak beberapa hari lalu, nama Fatiya meledak dalam media sosial apabila dia mula mencetuskan provokasi dengan menggelar Zahirah sebagai bibik atau pembantu rumah.
Selain panggilan bibik, Fatiya turut mengundang kemarahan ramai apabila memuat naik fotonya bersama Aiman dan mendakwa bekas kekasihnya itu masih mencintai dirinya.
Bukan sahaja dengan Zahirah dan Aiman, Fatiya turut berbalas kenyataan dan mula membuka aib bekas rakan baiknya, Zarina Anjoulie dalam media sosial.
Sumber: Kosmo