PETALING JAYA – Pelakon sensasi Fatiya Latiff mempertahankan tindakannya menyindir pasangan selebriti, Zahirah Macwilson dan Aiman Hakim Ridza secara terang-terangan menerusi laman sosial.
Fatiya atau nama sebenarnya, Nur Fathia Abdul Latiff, 37, berkata, pendapatnya bersifat peribadi dan berlandaskan undang-undang kebebasan bersuara yang diamalkan di negara ini.
“Apa yang kecoh sangat tentang pendapat saya? Kebebasan bersuara artikel 10 perlembagaan persekutuan.
“Saya memang rasa dia (Zahirah) kelihatan macam seorang bibik (pembantu rumah). Tolonglah, inilah kehidupan. Bertenang,” ujar Fatiya.
Menurut Kosmo, Fatiya yang merupakan bekas penuntut jurusan undang-undang sebuah universiti awam tanah air menambah, dia akan terus berpegang dengan apa yang dilontarkannya mengenai individu terbabit.
“Dia tidak langsung dalam satu liga dengan saya. Ayuh ulang semula apa yang diperkatakan semua orang.
“Sekali dah pernah guna, busuk dan rosak, hulurkan sahaja kepada mereka yang meminta (peminta sedekah),” katanya penuh maksud tersirat menerusi Instastory.
Terdahulu pelakon yang pernah meledak menerusi drama Ariana Rose itu mengejutkan ramai apabila secara terbuka menyindir Zahirah dan Aiman secara dalam video siaran langsung dimuat naik semula dalam TikTok.
Dalam video tersebut, Fatiya sewenang-wenangnya melabel penampilan Zahirah seperti seorang bibik selain mendakwa Aiman sebagai seorang lelaki yang tidak mempunyai kewangan kukuh.
Berdasarkan Kosmo, Fathia sebelum ini pernah menjalin hubungan cinta dengan Aiman, namun perhubungan mereka berakhir pada Disember 2015.
Aiman kemudian menamatkan zaman bujang dengan Zahirah pada 20 Februari 2020 dan mereka bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi.
Sumber: Kosmo