PETALING JAYA — Pelakon Fatin Afeefa tidak dapat menahan air mata ketika menghantar putera sulungnya, Adam Aisy Arrian, melanjutkan pengajian di sebuah sekolah tahfiz.
Menerusi hantaran dalam media sosial pusat tahfiz berkenaan, Adam melafazkan janji penuh kesungguhan di hadapan ibu bapanya untuk menghafal al-Quran dalam tempoh setahun.
“Semoga saya dikuatkan semangat. Terima kasih, mummy dan bapak, saya mohon doa untuk kejayaan saya,” ucapnya.
Fatin dan suaminya, Aliff Awang atau lebih dikenali sebagai Opai dilihat sedaya upaya menahan sebak namun gagal apabila air mata deras mengalir.
Sementara itu, Akademi Al-Quran Akmal tempat Adam bakal menimba ilmu, turut mengucapkan tahniah kepada pasangan terbabit atas pilihan mereka yang ikhlas membawa anak ke jalan Allah.
“Itu adalah tangisan penuh makna, lahir dari lubuk hati seorang ibu dan bapa yang meredhai anak mereka mendalami al-Quran.
“Beruntunglah ibu bapanya dikurniakan anak yang memilih jalan menghafal al-Quran.
“Tahniah Puan Afeefa dan suami kerana telah memilih untuk berjuang bersama anak,” tulisnya.
Semakan menerusi ruangan komen, rata-rata netizen turut terharu dan mendoakan agar urusan Adam dipermudahkan serta impiannya tercapai.
“Jadi anak yang baik Adam, sejuk perut ibu mengandungkan awak. Nanti perlahan-lahan tarik ahli keluarga dekat kepada Allah,” komen seorang netizen.
“Alhamdulillah, ibu mana yang tidak sebak tengok anak mahu jadi penghafal Al-Quran. Semoga itu menjadi asbab Fatin dan suami masuk syurga,” tulis seorang pengguna media sosial.
Fatin mendirikan rumah tangga dengan Opai di Subang Jaya pada Disember 2022. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata yang kini berusia tujuh bulan.
Adam merupakan hasil perkahwinan pertama aktres terbabit.
Selepas itu, Fatin pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Adam Shahz pada 21 Disember 2013, namun bercerai 30 Mei 2017.
Mereka dikurniakan cahaya mata perempuan bernama Ivy Herra Sophia, 9.
Sumber – Kosmo! Online