PETALING JAYA – Majlis Faith4Palestine anjuran penyanyi Faizal Tahir dengan kerjasama rakyat Palestin, penyanyi Faizal Tahir melalui gerakan kemanusiaan iamFaithmen dan kerjasama syarikat rakaman, Faithful Music berjaya mengumpul wang dana berjumlah RM43,806.21.
Meski baru merancang dalam masa dua minggu, pelantun lagu Mahakarya Cinta itu meluahkan rasa syukur menerima sambutan yang sangat hangat.
“Memang tidak sangka dapat sambutan begini. Saya pun tidak yakin sebab acara ini dirancang dalam masa singkat.
“Saya boleh kata acara ini memang main langgar sahaja.
“Acara macam ini tidak boleh tunggu lama. Apa lagi yang saya boleh buat? Inilah salah satu cara saya untuk bantu,” katanya usai majlis Faith4Palestin semalam.
Menurut Kosmo, kesemua wang yang berjaya dikutip dalam acara yang berlangsung di Royal Chulan Damansara pada hari ini bakal disumbangkan kepada mangsa Gaza menerusi pertubuhan Cinta Gaza Malaysia.
Dalam acara tersebut, pemilik nama lengkap Ahmad Faizal Mohammad Tahir itu berjaya melelong beberapa barangan peribadinya sebanyak RM15,022.99.
Antara barangan yang dibuka untuk bidaan dalam Instagram adalah kasut, jaket, dua piala Anugerah Juala Lagu (AJL) dan dua buah gitar.
Selain barang bidaan tersebut, penyanyi berusia 45 tahun itu turut menjual figura adiwira dan berjaya mengutip jualan berjumlah RM2,000.
Dalam pada itu, Faizal bagaimanapun tetap berat hati melepaskan barangannya lebih-lebih lagi trofi AJL yang dimenanginya pada tahun 2016, lapor Kosmo.
“Piala AJL saya dapat ketika lagu Assalamualaikum. Itu kali terakhir saya sertai AJL. Selain itu sebuah gitar yang dijual adalah pemberian isteri saya.
“Trofi AJL yang paling berat saya lepaskan. Yang lain-lain itu saya tiada masalah. Inilah cara kita belajar untuk melepaskan.
“Banyak lagi koleksi peribadi, cuma tidak sempat nak senaraikan. Mungkin saya akan jual di masa akan datang,” ujarnya lagi.
Selain menjual barangan, Faizal turut menghiburkan peminat selain berduet bersama penyanyi Syamel.
Sebelum berhibur, pengunjung disajikan dengan sesi perkongsian tentang kisah Palestin bersama aktivis Nadir Al-Nuri.
Istimewanya, peserta One In A Million (OIAM) itu juga mengajak anak-anaknya ke atas pentas dan melakukan persembahan bersama-sama buat pertama kali.
Sumber: Kosmo