Shah Alam: Nasi ayam penyet menjadi makanan berat pertama dijamah bintang bola sepak Selangor FC (SFC) dan Harimau Malaya, Faisal Halim biarpun dia mengidam nasi kandar.
Perkara itu dikongsikan Ahli Lembaga Pengarah SFC, Datuk Shahril Mokhtar selepas hadir ke hospital swasta di sini, hari ini.
“Saya difahamkan dia ada makan ayam penyet semalam, walaupun dia mengidam nasi kandar.
“Dia masih belum berkesempatan untuk menjamu selera makanan itu (nasi kandar),” kata Shahril.
Selain itu, Shahril yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Red Giants mengakui Faisal sudah dibenarkan berjumpa dengan anaknya, Khalish Aryan yang amat merindui bapanya itu.
“Kira-kira tiga hari lalu, doktor memberi kebenaran kepada Faisal untuk menerima lawatan daripada anaknya,” katanya.
Selasa lalu, Faisal dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa selepas perkembangan kesihatan tonggak skuad kebangsaan itu semakin baik.
Pada 5 Mei lalu, Faisal atau dikenali dengan panggilan Mickey dilaporkan diserang oleh dua individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.
Dua individu itu menyimbah asid ke arah muka pemain sayap itu, namun dia sempat mengelak dan asid itu terkena di beberapa anggota badan seperti leher, lengan, dada dan terkena sedikit di bahagian tepi wajahnya.
Difahamkan, asid itu cukup berbahaya apabila badan Faisal melecur tahap empat dan sudah menjalani tiga pembedahan setakat ini.
Sumber: Harian Metro