Faisal Berlatih Di Gimnasium, Hanya ‘Slow Jogging’ Luar Padang

0
122

Kuala Lumpur: Bintang bola sepak Selangor FC (SFC), Faisal Halim, telah memulakan latihan kecergasan dan fizikal di gimnasium di Pusat Latihan SFC sejak dua hari lalu.

Pengurus pasukan SFC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, berkongsi berita ini dan menyatakan kegembiraannya terhadap perkembangan positif yang ditunjukkan oleh pemain sayap Harimau Malaya tersebut.

Menurutnya, Faisal masih dalam proses pemulihan, dan beberapa program telah diatur. Sebagai permulaan, pemain kelahiran Pulau Pinang itu menjalani ‘conditioning training programme’ untuk memulihkan kecergasannya.

“Tiada latihan di atas padang bersama pemain lain buat masa ini. Faisal hanya menjalani latihan kecergasan dan fizikal kerana kecederaannya masih dalam proses pemulihan, dan kita perlu berhati-hati,” katanya.

“Dia hanya berlatih dalam gimnasium. Ada juga sesi lari-lari di luar, tetapi hanya ‘slow jogging’. Secara peribadi, saya melihat Faisal menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk segera pulih.

“Ini sebenarnya membantu menguatkan mental, psikologi, dan fizikalnya selepas insiden tersebut. Kami akan terus memantau keadaannya dari semasa ke semasa dan berusaha membantu Faisal sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Faisal terpaksa berehat hampir dua bulan selepas disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.

Akibat insiden tersebut, Faisal mengalami lecuran tahap empat dan terpaksa menjalani empat pembedahan bagi merawat anggota badannya yang terkena asid.

Mahfizul menambahkan bahawa kehadiran Faisal, atau lebih dikenali dengan panggilan Mickey, dalam sesi latihan sekurang-kurangnya dapat memberi suntikan motivasi kepada rakan sepasukannya yang akan menentang Kuching City FC dalam aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam esok.

Dalam aksi pertama di Stadium Negeri Sarawak minggu lalu, Red Giants tewas 1-2 kepada Kuching City FC, dan anak buah Nidzam Jamil perlu mencatat kemenangan dengan kelebihan dua gol untuk mara ke separuh akhir Piala FA musim ini.

“Perkara positif lain apabila dia menjalani latihan kecergasan adalah pemain lain menjadi lebih bersemangat apabila melihat Faisal ada di situ.

“Ini setidak-tidaknya dapat menaikkan moral pasukan yang perlu menang ke atas lawan nanti,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here