Fahmi Fadzil Mahu Saman Pemfitnah Konsert Coldplay

0
130
Foto: thesun.my

PUTRAJAYA, 27 November- Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sedang membuat pertimbangan untuk memfailkan saman terhadap pihak yang memfitnahnya berkaitan penganjuran konsert kumpulan rock antarabangsa Coldplay, baru-baru ini.

Menurut beliau, ada individu yang membuat hantaran berbentuk grafik dengan menyatakan beliau mengungkapkan kalimah ‘Alhamdulillah’ berikutan konsert itu berlangsung dengan lancar di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lepas.

Beliau berkata tuduhan yang dilemparkan individu terbabit adalah berdasarkan laporan media mengenai respons beliau berhubung penganjuran konsert berkenaan.

Jelasnya, tuduhan yang dilemparkan adalah sangat jahat.

“Tuduhan itu bagi saya bersifat fitnah dan berniat jahat, sebenarnya lari daripada konteks apa yang saya sebut dan jawapan saya kepada seorang wartawan dan jawapan penuh saya boleh didapati di laman web itu.

“Saya akan minta peguam untuk meneliti semua pihak yang mengeluarkan grafik fitnah ini dan kita akan ambil tindakan undang-undang terhadap mereka, ada pihak dengan motif memesongkan fakta dari kenyataan saya,” katanya.

Sebelum ini, tular satu hantaran di Facebook yang mendakwa Fahmi ‘bersyukur’ dengan penganjuran konsert Coldplay selain turut disertakan grafik mengandungi wajah menteri itu berlatar belakangkan suasana konsert dengan tajuk ‘Konsert Coldplay: Alhamdulliah, berjalan dengan lancar – Fahmi Fadzil”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here