LONDON – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca memuji aksi lima bintang yang dipamerkan oleh barisan pemain untuk terus ‘membeli jiwa’ penyokong dengan menewaskan Southampton 5-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, skuad The Blues meraih gol menerusi ledakan Axel Disasi, Christopher Nkunku, Noni Madueke, Cole Palmer dan Jadon Sancho.
Namun, apa yang menarik perhatian adalah penyokong setia Chelsea mula menyanyikan lagu keramat khas buat Maresca yang kini dianggap sebagai penyelamat pasukan selepas beberapa musim dibelenggu kemelut prestasi.
Kata Maresca, apa yang dilakukan oleh penyokong itu sangat luar biasa kerana bukan mudah untuk menawan hati mereka dalam tempoh yang singkat sejak menjadi pengendali pada Jun lepas.
“Saya harap mereka terus gembira menyaksikan momentum pasukan selepas ini kerana pasukan Chelsea yang mereka rindukan sudah kembali. Sasaran kami adalah untuk memastikan mereka bangga melihat aksi pasukan di atas padang,” katanya.
Sementara itu, Maresca tidak terkejut apabila jentera serangan Chelsea kini semakin tajam selain berjaya melebarkan rekod tanpa tewas sejak enam perlawanan lepas.
“Ini adalah perlawanan yang luar biasa dan kita sepatutnya boleh menjaringkan banyak gol terutama pada babak pertama. Namun, saya rasa lima gol sudah cukup dan harap momentum ini dapat diteruskan pada aksi akan datang,” katanya.
Sumber – AGENSI