MANCHESTER – Aksi terakhir Ruud van Nistelrooy sebagai pengurus sementara Manchester United berakhir dengan keputusan cemerlang selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Leicester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford malam kelmarin.
Kemenangan tersebut boleh dianggap sebagai hadiah ‘perpisahan’ istimewa buat legenda The Red Devils itu memandangkan beliau mungkin terpaksa meninggalkan pasukan sebaik sahaja pengurus baharu, Ruben Amorim tiba.
Nistelrooy yang dilihat cuba menahan sebak sebaik perlawanan tamat berkata, beliau gembira kerana diberikan peluang untuk mengemudi pasukan yang pernah melonjakkan namanya sebagai salah seorang penyerang terbaik dunia.
“Saya sangat menikmati setiap detik di sini walaupun ia tidak panjang. Kami berada dalam situasi cukup sukar sebelum ini, namun saya sudah melakukan apa yang termampu bagi membantu pasukan kerana itu perkara paling penting.
“Emosi saya bercampur-baur ketika ini kerana penyokong sentiasa memberikan sokongan dan bersama pasukan dalam tempoh sukar. Dapat menamatkan tempoh beberapa ketika ini dengan kemenangan membuatkan ia lebih istimewa,” katanya.
Pada perlawanan itu, United menampilkan aksi cukup cemerlang menerusi serangan-serangan dilakukan dan berjaya menjaringkan tiga gol hasil jaringan Bruno Fernandes, Alejandro Garnacho dan gol sendiri Victor Kristiansen.
Sebagai rekod, Nistelrooy diberikan peluang untuk mengendalikan United dalam empat perlawanan yang menyaksikan beliau berjaya membantu pasukan mencatat tiga kemenangan dan satu seri.
“Seperti saya cakap sebelum ini, saya mahu kedudukan saya diperjelaskan. Oleh itu, saya berharap kelab akan memberitahu perkembangan dalam masa terdekat, namun saya tetap tenang,” ujarnya.
Sumber – Agensi