England dan Sepanyol akan bertemu dalam final Euro 2024 pagi isnin ini selepas melalui laluan yang sangat berbeza menuju ke Berlin di kejohanan yang kadang kala kurang menarik.
Sepanyol menunjukkan prestasi yang cemerlang walaupun berdepan dengan undian yang sangat sukar, termasuk menewaskan Croatia (separuh akhir Piala Dunia 2022), juara bertahan Itali, tuan rumah Jerman, dan pilihan utama sebelum kejohanan, Perancis.
Sebaliknya, England melalui jalan sukar untuk mara ke final pertama mereka di luar negara, dibantu dengan beberapa gol lewat yang menutup kekurangan walaupun memiliki pemain berbakat bagi memudahkan pengurus Gareth Southgate.
Mereka termasuk antara kuasa besar benua yang dikritik kerana menjadikan pertunjukan bola sepak Eropah sukar untuk ditonton.
England menjuarai Kumpulan C walaupun hanya menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan, satu prestasi yang mengundang kecaman daripada penyokong sendiri sehingga Southgate dihujani dengan balingan cawan minuman selepas keputusan seri 0-0 menentang Slovenia.
Sekiranya pasukan Southgate berjaya mengangkat trofi, gol akrobatik Jude Bellingham pada minit ke-95 untuk mengelak kekalahan aksi 16 terakhir kepada Slovakia akan dikenang sebagai salah satu gol paling penting dalam sejarah bola sepak England.
Ia juga satu-satunya percubaan tepat England dalam perlawanan itu.
Begitu juga, rembatan menakjubkan Bukayo Saka untuk menyamakan kedudukan menentang Switzerland pada minit ke-80 dalam suku akhir adalah kali pertama England mengenai sasaran.
“Niat kami sentiasa untuk bermain dengan baik dalam bola sepak anda mempunyai lawan yang cuba menghentikan anda. Tiada apa yang mudah,” kata Southgate ketika ditanya mengenai kurangnya hiburan dalam perlawanan England.
Jumlah 114 gol dalam kejohanan setakat ini, dengan purata 2.28 per perlawanan, adalah kurang daripada 2.78 pada Euro tiga tahun lalu dan 2.69 pada Piala Dunia 2022.
Namun, generasi baharu Sepanyol membalikkan corak berkenaan, berusaha mengikuti jejak langkah pasukan yang memenangi tiga kejohanan utama berturut-turut antara 2008 dan 2012.
Diletakkan ke dalam kumpulan yang paling sukar, pasukan Luis de la Fuente bersinar sejak awal, menjaringkan tiga gol dalam separuh pertama ketika kemenangan 3-0 ke atas Croatia.
Kemenangan 1-0 ke atas Itali tidak mencerminkan skala penguasaan Sepanyol di Gelsenkirchen, sebelum mereka menamatkan peringkat kumpulan dengan kemenangan 1-0 ke atas Albania walaupun membuat 10 pertukaran.
Walaupun mengalami gol sendiri awal untuk memberi kelebihan mengejutkan kepada Georgia dalam 16 terakhir, Sepanyol tidak tergugat dan kembali meratah dengan kemenangan 4-1.
Sepanyol menamatkan impian Jerman di Stuttgart dengan drama lewat mereka sendiri apabila tandukan Mikel Merino memenangi perlawanan berkualiti tertinggi dalam kejohanan 2-1.
Gol menakjubkan Lamine Yamal untuk menjadi penjaring gol termuda Euro menyinari kemenangan 2-1 dalam suku akhir ke atas Perancis.
“Mereka adalah pasukan terbaik,” tambah Southgate, mengenai cabaran menghadapi Sepanyol.
“Kami perlu mendapatkan bola daripada mereka dahulu.”
England memerlukan persembahan terbaik mereka untuk menghentikan gelombang Sepanyol, tetapi kejohanan ini juga memerlukan final yang klasik jika ia ingin dikenang dengan baik oleh penyokong neutral pada masa akan datang.
Sumber : Harian Metro