Enam Termasuk Empat Wanita Ditahan Jual MC Palsu

0
103
Foto: Berita Harian

KUALA LUMPUR, 13 Disember- Enam individu ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menjual sijil cuti sakit palsu di Kajang, Selangor pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Kesemua suspek terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki berusia 26 hingga 51 tahun.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata kesemua suspek itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan di Bukit Jalil, dan Kajang.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya mereka menjalankan kegiatan berkenaan sejak tahun lepas dan sijil sakit palsu itu dijual pada harga RM30 hingga RM50 sekeping di sekitar Kajang.

“Polis turut merampas 171 sijil cuti sakit kerajaan dan 70 sijil cuti sakit swasta selain 19 resit rasmi klinik, sebuah komputer riba, lapan telefon bimbit, enam buku sijil cuti sakit dan lima pemacu pena.

“Kesemua suspek direman sejak Sabtu lepas hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu menggunakan dokumen palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zaid, orang ramai terutama majikan dinasihatkan supaya membuat semakan dan menghubungi talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerusi talian 03-8911 4242 sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan kegiatan penjualan sijil cuti sakit.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here