Empat Lelaki Bertopeng, Bersenjata Api Samun Kedai Emas

0
69
Foto: Kosmo

KAJANG – Empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan api dilaporkan telah merompak sebuah kedai emas di Plaza Metro Kajang, di sini, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohammad Nasir Drahman menyatakan bahawa pihaknya menerima laporan mengenai insiden rompakan di kedai emas tersebut daripada seorang lelaki tempatan sekitar pukul 3.30 petang.

Beliau menyatakan bahawa kejadian berlaku pada pukul 3.17 petang, melibatkan empat lelaki yang memakai pakaian menyerupai pengawal keselamatan, bertopeng, dan bersarung tangan gelap yang masuk ke premis di tingkat satu.

“Suspek terus memecahkan cermin kaca tempat penyimpanan emas menggunakan tukul besi sambil mengambil barang kemas. Semasa kejadian, suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan satu laras senapang,” katanya.

“Kita masih menjalankan siasatan terhadap rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di dalam bangunan serta menyoal beberapa saksi kejadian untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat), di mana jika disabitkan kesalahan, hukuman mati boleh dikenakan walaupun tiada kecederaan atau kematian yang berlaku,” katanya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Afiq Farhan Mohd Nor, di talian 012-2446768,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here