WASHINGTON – Manusia paling kaya di dunia, Elon Musk menganggap hantaran bersifat anti-Semitik yang disiarkan dalam aplikasi X oleh netizen sebagai benar, lapor portal berita CBS News semalam.
Hantaran pengguna X itu mendakwa bahawa orang Yahudi menghasut kebencian kepada orang kulit putih, walaupun meminta orang lain berhenti melakukan perkara serupa terhadap mereka.
Musk kemudian menulis: “Anda menyatakan kebenaran sebenar”.
Pengasas bersama kenderaan elektrik Tesla itu turut mengkritik Liga Anti-Fitnah (ADL), sebuah kumpulan pembela orang Yahudi.
“ADL secara tidak adil menyerang majoriti Barat, walaupun majoriti Barat menyokong orang Yahudi dan Israel. Ini kerana mereka tidak boleh, dengan prinsip mereka sendiri, mengkritik kumpulan minoriti yang menjadi ancaman utama terhadap mereka,” tulis Musk di X.
Komen itu dibuat di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak akibat perang Israel dan Hamas. Isu tersebut mencetuskan konflik di kampus-kampus pusat pengajian tinggi Amerika Syarikat (AS) susulan insiden anti-Yahudi dan anti-Muslim.
Sementara itu, sejak pejuang Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel pada 7 Oktober lalu yang disusuli serangan besar-besaran Israel, terdapat peningkatan ketara dalam insiden anti-Yahudi di seluruh AS, demikian menurut data ADL.
Musk pernah memberi amaran pada September lalu bahawa beliau akan menyaman ADL kerana menuduhnya dan laman X sebagai anti-Yahudi. Tuduhan ADL menyebabkan pengiklan meninggalkan rangkaian sosial milik bilionair tersebut.
Sumber: Kosmo