Sunday, July 21, 2024
HomeBERITAElak Rakyat Terbeban, Segera Tambah Baik Mekanisme Subsidi

Elak Rakyat Terbeban, Segera Tambah Baik Mekanisme Subsidi

Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap berakhir Sabtu lalu dengan calon memenanginya akan memikul tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berfungsi menggubal undang-undang pada peringkat negeri dan membawa suara penduduk tanpa mengira sama ada mengundinya atau calon lain, hatta tidak keluar mengundi, sekali gus memastikan kehidupan mereka dipelihara. Pilihan raya dan jawatan ADUN sama seperti Ahli Parlimen hanya wasilah, sebaliknya maqasid atau tujuan utama adalah kepentingan negara, negeri dan rakyat.

Bagi calon dan parti yang kalah, kita kira pesanan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani adalah jawapan terbaik selepas masuk ‘tempoh bertenang’ selepas keputusan diumumkan, iaitu berhenti menyalahkan orang lain termasuk bekas pemimpin UMNO, PKR dan DAP, sebaliknya melihat diri sendiri untuk menangani penurunan populariti. Sebenarnya, kenyataan Menteri Perladangan dan Komoditi itu sekiranya tidak menyebut mana-mana parti itu, ia boleh dijadikan azimat kepada semua pihak tidak kira warna politik bukan hanya pada PRK ini, bahkan yang seterusnya termasuk pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU).

Malah, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) bahawa beliau menghormati suara pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, sekali gus gabungan Kerajaan Perpaduan akan terus mengukuhkan kesatuan dan inisiatif bertepatan dengan realiti semasa adalah pendirian selari dengan lunas demokrasi dan kebebasan bersuara dijamin dalam Perlembagaan. Ini pastinya diharap terus menjadi amalan kepada kerajaan yang menegaskan tatakelola dan tadbir urus berintegriti serta menghormati sistem demokrasi berparlimen.

Bagaimanapun, sebagai kerajaan yang perlu mendengar denyut nadi rakyat, terutama membabitkan dasar dan inisiatif dilaksanakan dalam usaha memulihkan situasi ekonomi, politik serta sosial di negara ini dan pada masa sama PRK Sungai Bakap juga dilihat banyak pihak termasuk penganalisis politik sebagai antara ‘referendum’, kita meminta barisan pemimpin melakukan muhasabah atau bedah siasat terhadap faktor kekalahan dikemukakan ramai ahli akademik. Antara faktor disebut adalah pelaksanaan mekanisme penyasaran subsidi diesel, selain isu tempatan yang pasti akan mendapat perhatian daripada kerajaan negeri sendiri.

Kita mengaku kepentingan dan kewajaran penyasaran subsidi bahan api itu seperti diperakui banyak pakar ekonomi dan persatuan pengguna, tetapi meminta kerajaan memperhalusi kembali mekanisme pemberian subsidi kepada rakyat supaya tidak ada kelompok yang patut menerimanya, bukan sahaja tidak sampai, bahkan mendapat dalam jumlah tidak mencukupi.

Justeru, kita meminta kerajaan melaksanakan libat urus dengan beberapa kumpulan menyampaikan keluhan melalui pelbagai medium termasuk pengusaha ekonomi gig, sekali gus mengambil langkah pembetulan dengan pantas dan memaklumkannya kepada masyarakat.

Dalam konteks ini juga, kita mengingatkan sebarang pelaksanaan penyasaran subsidi seterusnya termasuk petrol perlu dilaksanakan dengan berhati-hati ‘bagai menghela rambut dalam tepung: rambut jangan putus, tepung jangan terserak’. Kita tidak mahu sebarang perubahan struktural penting dilakukan dengan memberikan kejutan bukan sahaja kepada rakyat, bahkan kelompok peniaga termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Sumber : Berita Harian

MADN
MADNhttp://www.medialahmy.com
Media Massa, Netizen Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Bukan Kali Pertama Budak Dilarikan Di Taman Ikan Emas

0
Kuala Selangor: Kemunculan sebuah Perodua Bezza berwarna hitam yang 'melarikan' kanak-kanak di sekitar Taman Ikan Emas, di sini, menimbulkan kebimbangan komuniti di kawasan itu. Terbaru,...

CATEGORIES