Elak Ditahan Polis, Tiga Suspek Rempuh Rumah

0
44
Foto: Kosmo

PASIR MAS – Sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dinaiki tiga lelaki merempuh sebuah rumah ketika cuba melarikan diri daripada pihak polis di Kampung Kedondong, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian jam 7.35 malam itu, ketiga-tiga suspek yang berusia 36 hingga 41 tahun bertindak melarikan diri dengan memecut kereta terbabit ke dalam kawasan kampung dan terbabas di tepi jalan setelah melalui laluan selekoh.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, anggota tugas Ronda Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan pentadbiran Balai Polis Meranti melihat sebuah kereta dinaiki tiga lelaki berhenti di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

“Menyedari kehadiran polis, pemandu bertindak melarikan diri dengan memecut kereta tersebut ke dalam kawasan kampung.

“Bagaimanapun kereta suspek didapati terbabas di tepi jalan dan merempuh sebuah rumah setelah melalui laluan selekoh,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, salah seorang suspek kemudian melarikan diri namun berjaya ditahan di kawasan semak berhampiran.

Ujarnya, kesemua suspek ditahan selepas dipercayai menghalang pihak polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan Meranti.

Kama Azural memberitahu, hasil semakan rekod mendapati kesemua suspek mempunyai kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here