Quito: Pasukan keselamatan Ecuador cuba mewujudkan semula ketenteraman di sekurang-kurangnya enam penjara terbabit, susulan rusuhan yang tercetus pada Isnin lalu.
Portal BBC melaporkan, pada kejadian itu, banduan dilaporkan menjadikan beberapa wadar penjara sebagai tebusan dan mengancam untuk membunuh mereka, jika tentera dikerahkan untuk mengawal semula pusat berkenaan.
Empat pegawai polis turut diculik selepas Presiden Ecuador, Daniel Noboa mengisytiharkan darurat.
Pergolakan itu dicetuskan susulan ketua kumpulan terkenal yang dikenali sebagai Fito, lolos dari penjara.
Jurucakap berkata, Fito, yang nama sebenarnya Adolfo Macías Villamar, tidak berada di dalam selnya pada pagi Ahad lalu, ketika polis tiba untuk memindahkannya ke penjara lain, dalam kawasan sama.
Jurucakap kerajaan, Roberto Izurieta berkata bahawa Fito, yang mengetuai kumpulan kuat Los Choneros, dimaklumkan bahawa dia akan dipindahkan dari penjara La Regional, dan tinggal di dalam sel luas yang dicat dengan warna cerah serta dihiasi dengan mural.
Dia bagaimanapun melarikan diri beberapa jam sebelum dipindahkan, dan dua wadar penjara ditahan kerana disyaki membantu Fito.
Lelaki berusia 44 tahun itu mengetuai Los Choneros, geng penjara yang kuat dan dianggap menjadi dalang banyak rusuhan maut dan pergaduhan penjara yang meletus di penjara Ecuador, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Walaupun bos tertingginya beroperasi dari balik penjara, kuasa Los Choneros tidak terhad di penjara Ecuador.
Anggota geng itu juga terbabit dalam pembunuhan kontrak, peras ugut dan pengedaran dadah di seluruh negara.
Kumpulan itu juga menjalin pakatan dengan kartel dadah Sinaloa yang berkuasa di Mexico dan menyeludup kokain dari negara jiran Colombia melalui bandar pelabuhan Ecuador ke Amerika Syarikat dan Eropah.
Fito mengambil alih kepimpinan kumpulan itu selepas pemimpin terdahulu, Jorge Luis Zambrano, terbunuh pada 2020.
Sumber: Harian Metro
Very excellent information can be found on site.Leadership