Dua Lelaki Pecah Rumah Khuzaimi Piee Tumpas Di Terengganu

0
32

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kegiatan samun dan pecah rumah yang berlaku di beberapa buah negeri termasuk kes melibatkan rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee yang dipecah masuk, 22 Mei lalu terungkai susulan tertangkapnya dua individu di Kilometer 23 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Marang pada Rabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua suspek yang merupakan lelaki tempatan berumur 23 dan 28 tahun itu ditahan selepas terlibat dalam kemalangan di lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan susulan yang dijalankan kemudiannya menemukan pelbagai barangan dan peralatan dipercayai untuk digunakan bagi menjalankan kegiatan jenayah.

“Antara dirampas adalah tujuh telefon bimbit, 17 utas jam tangan pelbagai jenama, lima bentuk cincin, sebuah komputer riba, dua buah mesin pelbagai guna, satu set komponen motosikal, sepana, pisau dan beberapa barangan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Selasa.

Katanya, siasatan mendapati kegiatan dijalankan dua suspek ini turut melibatkan beberapa lokasi lain.

“Semakan mendapati selain kejadian pecah rumah rumah pemain pertahanan Selangor FC itu, suspek turut terlibat sembilan kes lain termasuk melarikan kenderaan dan samun.

“Antaranya melibatkan dua kes di Selangor, Terengganu (tiga), Pahang (dua) dan Melaka,” katanya.

Menurutnya, semakan dijalankan mendapati kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod berkaitan dadah dan jenayah.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek ini bergerak secara mobil dan tidak statik berada di satu-satu tempat, kedua mereka dipercayai akan berada di lokasi-lokasi yang berlainan selepas melakukan kegiatan jenayah.

“Selain itu, dua suspek ini turut dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun, dan kita telah menjejaki kedua suspek ini dan seterusnya menjalankan tangkapan ke atas mereka,” katanya.

Hussein berkata, dengan tertangkapnya kedua suspek ini ia menunjukkan kejadian tidak ada kaitan dengan mana-mana insiden melibatkan pemain bola sepak lain.

“Kedua-dua suspek ini kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

22 Mei lalu, kediaman Khuzaimi dilaporkan dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor.

Selain itu, turut tular video di media sosial dipercayai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekitar rumah mangsa memaparkan kenderaan pelbagai guna (MPV) didakwa digunakan suspek.

Siasatan yang dijalankan pihak polis kemudiannya mendapati kenderaan digunakan suspek itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here