PETALING JAYA: Selepas apa yang dilakukan oleh Amar terhadap bekas isterinya, Ardini dan ibunya, Aleeza, ramai penonton ternanti-nanti apakah kesudahan drama bersiri, Wanita Syurga yang menemui episod akhir, jam 7 malam ini di TV3.
Adakah Ardini akan memilih Luqman sebagai teman pengganti hidupnya? Berjayakah Ardini menggapai bahagia dicari-cari?
Wanita Syurga hasil karya Riza Baharudin dan olahan skrip oleh Sophilea, Haidi Mazni dan Shaza Talib ini menjadi buah mulut orang ramai di media sosial berikutan jalan ceritanya yang menyentuh perasaan.
Drama ini menampilkan pelakon seperti Redza Rosli, Siti Khadijah Halim, Riena Diana, Nazim Othman, Marissa Yasmin dan ramai lagi.
Pada permulaannya, Ardini lakonan Siti Khadijah hanyalah seorang suri rumah yang sudah meninggalkan kerjayanya demi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap anak-anak, Wana dan Muqrie.
Rumah tangga mereka amat bahagia sehinggalah kehadiran majikan Amar (Redza Rosli) iaitu Farah (Riena Diana) sebagai orang ketiga.
Amar dan Farah berkahwin di luar negara tanpa pengetahuan keluarga. Sejak itu, segala-gala berubah sehingga Amar berlaku tidak adil terhadap Ardini dan anak-anaknya.
Amar banyak melebihkan Farah kerana seorang yang lebih menjaga penampilan dan bekerjaya.
Cabaran demi cabaran diberikan oleh Amar dan Farah demi menjatuhkan Ardini. Namun, Ardini tidak lagi seperti dahulu, dia bangkit demi mencapai kebahagiaan dengan mengambil hak penjagaan anak.
Keberadaan Luqman (Nazim Othman) pula membantu Ardini dari segi hak penjagaan anak-anak, harta sepencarian, mutaah dan edah yang selama ini tidak dituntut oleh Ardini.
Apakah nasib bakal menimpa Amar? Adakah Ardini akan bahagia di penghujungnya?
Tonton episod akhir Wanita Syurga menerusi slot Akasia, jam 7 malam ini di TV3.
Penonton juga boleh strim di perkhidmatan penstriman iQIYI satu jam selepas siaran TV dalam sari kata Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia secara percuma pada bila-bila masa melalui aplikasi iQIYI di App Store dan Play Store.
Sumber: Berita Harian