KUALA LUMPUR, 6 Oktober- Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan ditemukan sudah tidak bernyawa selepas disyaki ditinggalkan ibunya di dalam kereta selama hampir 10 jam, di parkir hospital, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata dalam kejadian kira-kira 7.20 pagi itu, ibu mangsa, seorang doktor yang bertugas di Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Cheras membawa bayi itu untuk dihantar ke taska.
“Mangsa diletakkan di bahagian belakang penumpang sebelah kiri kereta untuk dihantar ke taska tetapi ibu bayi berkenaan terus ke tempat kerja dengan anggapan mangsa telah pun dihantar ke taska.
“Ibu mangsa hanya menyedari anaknya masih berada dalam kereta pada petang hari yang sama selepas dimaklumkan oleh suaminya bahawa mangsa tidak dihantar ke taska,” katanya.
Zam Halim berkata mangsa yang merupakan anak bongsu daripada dua adik beradik disahkan meninggal dunia pada pukul 5.53 petang hari yang sama oleh pegawai perubatan HCTM.
“Keterangan daripada ibu mangsa akan diambil selepas selesai urusan pengebumian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak,”katanya.
Tambah Zam Halim, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi Hotline Polis Cheras melalui talian 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berdekatan.