KUALA LUMPUR: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah peribahasa menggambarkan situasi dilalui penyanyi dan penyampai radio, Dina Nadzir yang kehilangan beberapa rakan selepas dirinya terpaksa bertarung dengan masalah kemurungan ringan (mild depression).
Hakikat pahit itu terpaksa ditelan Dina atau nama sebenarnya, Faradina Mohd Nadzir, 39, apabila rakan akrab sudah mula menjauhkan diri selepas didakwa mula berasa rimas dengan dirinya yang kerap meluahkan masalah.
Rentetan itu, Dina yang juga naib juara program realiti nyanyian, Malaysian Idol musim pertama pada 2004 mendakwa, beberapa rakan mengambil keputusan tidak melayan luahannya lagi.
Justeru, Dina berkata, dia mula nampak siapa kawan yang kekal setia ketika dirinya berdepan kesulitan.
“Saya memang kehilangan beberapa kawan sebab mereka tak faham. Mereka jadi rimas. Bila saya telefon, mereka persoalkan kenapa nak mesej dan telefon setiap hari hingga mereka tak layan.
“Ada yang suruh saya terus minta bantuan pakar. Tapi bila terkena jam 2 atau 3 pagi, siapa saya nak telefon? Itulah masa saya tahu siapa kawan, siapa sanggup bersusah dengan saya,” katanya kepada BH Online.
Mengulas masalah kemurungan terjadi, Dina berkata, ia mula dikesan sejak tahun lalu ketika menangis tanpa sebab.
“Kali pertama saya terkena kemurungan, tahun lalu. Saya bangun tidur tiba-tiba menangis tanpa sebab. Saya juga tak nak pergi kerja. Selepas itu, tiada apa-apa dan keadaan saya baik-baik sahaja.
“Mac lalu, ia berlaku semula. Saya masih lagi sedang memulihkan diri. Masih ada rasa sedih, sunyi, berduka, tapi setiap kali berlaku, saya akan hubungi orang terdekat,” katanya.
Dina berkata, antara kesan dialami adalah sukar memberi tumpuan terhadap sesuatu perkara. Justeru, nekad mengubah gaya hidup untuk memulihkan semangat.
“Saya lihat sesuatu perkara, tapi tak faham depan mata. Bila orang bercakap dengan saya, otak pergi tempat lain. Tak tenang, nak solat pun, rasa resah sebab saya tak ambil apa-apa ubat.
“Saya pernah dapat nasihat, ketika itulah saya tahu. Jadi, langkah pertama saya lakukan buang kemurungan dengan mengubah hal yang saya tidak berkenan mengenai diri sendiri.
“Saya mula diet dan potong rambut. Itu adalah permulaan saya mahu mengubah apa yang saya tidak suka mengenai diri sendiri. Apa yang saya tak suka adalah penampilan sendiri,” katanya.
Dina kini mengamalkan diet sehingga berjaya menurunkan berat badan 10 kilogram (kg), selain mahu bergiat aktif melakukan pelbagai aktiviti bersama rakan seperti mendaki dan menyelam.
Dina merancang mengeluarkan beberapa single baharu selepas tampil dengan lagu duet bersama XPOSE Band berjudul Raya Di Rumah Dinda yang tular dalam media sosial hingga meraih lebih 4 juta tontonan di YouTube.
Sumber: Berita Harian