Dikesan Hidap Dua Sindrom, Zara Zya Dirawat Di Hospital

0
65
Foto: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Pelakon Zara Zya, 39, kini dirawat di sebuah pusat perubatan sejak Isnin lalu selepas dikesan menghidap dua sindrom iaitu Cervical Facet Syndrome dan Lumbar Facet Syndrome.

Zara ketika dihubungi berkata, pada awalnya dirinya menjalani pemeriksaan masalah artritis, namun dinasihatkan supaya ditahan dan dirawat di hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Saya sekadar nak buat pemeriksaan untuk masalah artritis, tapi doktor sarankan saya ditahan dan dirawat untuk pemeriksaan lanjut.

“Selepas dilakukan ujian pengimejan resonans magnet (MRI), barulah saya dapat tahu ada masalah lain pada bahagian leher.

“Doktor kemudian mengesan penyakit itu sebagai Cervical Facet Syndrome dan Lumbar Facet Syndrome pada bahagian belakang.

“Dari situ, saya turut dimaklumkan poliartritis yang dihidapi boleh mengakibatkan dua sindrom ini berlaku,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan terkininya, pelakon drama Risik Pada Hati itu berkata, keadaannya stabil walaupun ada sedikit rasa sakit pada bahagian leher.

“Setakat ini, saya dalam keadaan baik-baik sahaja. Cuma, ada rasa sakit pada bahagian tertentu yang berkaitan dengan sendi terutamanya leher,” katanya.

Setakat ini, Zara berkata, dia masih belum dimaklumkan mengenai berapa tempoh masa perlu ditahan dan dirawat di hospital.

“Setakat ini, doktor belum maklumkan sampai bila saya perlu dirawat di hospital memandangkan saya perlu melalui beberapa sesi fisioterapi.

“Cuma doktor berikan pelepasan untuk saya keluar sekejap memandangkan ada urusan kerja membabitkan pelanggan, semalam. Tapi, bukanlah kerja berat. Selepas selesai, saya kembali semula ke hospital,” katanya.

Cervical Facet Syndrome atau sindrom sendi faset leher adalah salah satu punca paling biasa bagi kesakitan leher.

Sendi faset adalah sendi kecil pada bahagian belakang (aspek posterior) tulang belakang dan mudah terdedah kepada kecederaan, keradangan dan degenerasi.

Lumbar Facet Syndrome pula merujuk kepada keadaan klinikal yang terdiri daripada pelbagai gejala termasuk kesakitan belakang unilateral atau bilateral yang memberi kesan sakit ke salah satu atau kedua-dua punggung, sisi pangkal paha hingga bahagian atas lutut.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here