Dihina Tentera Israel, Penduduk Palestin Diminta Angkat Bendera Putih

0
94
Foto: Berita Harian

Gaza: Bekalan elektrik terputus di Hospital Indonesia di wilayah Jabalia di utara Gaza, tempat beribu-ribu penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal, serta yang cedera dan sakit, sedang berlindung.

Generator berhenti beroperasi kerana kehabisan bahan api dan hospital itu menjadi gelap gelita, lapor Agensi Anadolu yang memetik Kementerian Kesihatan Gaza.

Sementara itu, penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal menyatakan menerima penghinaan daripada tentera Israel ketika mereka melarikan diri ke selatan di tengah-tengah serangan tentera yang berterusan di Semenanjung Gaza.

Beribu-ribu penduduk Gaza bergerak ke selatan di sepanjang Jalan Salahuddin untuk keluar dari Bandar Gaza, satu-satunya laluan bagi orang awam yang melarikan diri dari pengeboman besar-besaran Israel ke atas wilayah Palestin. Kebanyakan melarikan diri dengan berjalan kaki, bersama barangan yang mereka mampu bawa.

“Kami diminta untuk menaikkan bendera putih semasa kami berjalan,” seorang wanita, yang enggan memberikan namanya, memberitahu Agensi Anadolu.

“Kami diejek dan dihina oleh tentera Israel, yang melepaskan tembakan ke arah kami,” katanya.

Dia berkata, beberapa orang muda Palestin ditahan oleh tentera Israel ketika mereka bergerak ke selatan.

Wanita Palestin itu berkata, suaminya cedera apabila peluru berpandu Israel melanda berhampiran ketika mereka pergi ke selatan.

“Kami tidak tahu ke mana hendak pergi. Kami sekeluarga, seramai 40 orang. Antara kami adalah pesakit buah pinggang. Dia biasanya dirawat di Hospital Al-Shifa. Dia tidak boleh pergi ke sana kerana pengeboman Israel, yang meletakkan nyawanya dalam bahaya,” tambahnya

Seorang penduduk menyifatkan keadaan itu sebagai “malapetaka.”

“Keadaan kami sangat tragis,” katanya kepada Agensi Anadolu.

Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza – termasuk hospital, kediaman dan rumah ibadat sejak 7 Oktober lalu.

Sekurang-kurangnya 11,078 rakyat Palestin terbunuh, termasuk 4,506 kanak-kanak dan 3,027 wanita

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here