PETALING JAYA – “Tolong padam Azwan Ali. Jangan sampai saya heret anda ke mahkamah.”
Demikian amaran yang diberikan oleh penyanyi Datuk Aishah kepada selebriti bermulut lancang, Azwan Ali kerana berang dengan komen menghina yang dibuat lelaki itu.
Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 58, berkata, dia sudah lama bersabar dengan tohmahan negatif yang datang daripada figura itu.
Kali ini, Aishah bagaimanapun hilang sabar apabila lelaki itu mula menyentuh perihal berkaitan keluarga dan keturunannya.
“Aku cuba bersabar, aku cuba menegur dengan baik tetapi tidak habis-habis dengan kata nista. Kali ini saya mengambil serius kerana dia (Azwan) mencuit keturunan dan keluarga.
“Kalau anda rasa boleh lepas di mahkamah dunia, saya beritahu kamu insya-Allah pembalasan akan sampai. Kali ini anda sudah terlalu melampau!,” getus pelantun lagu Janji Manismu itu menerusi Instagram.
Tambah Aishah, beliau tidak akan sesekali memaafkan perbuatan Azwan itu dan berdoa agar dia diberi balasan setimpal oleh Allah SWT.
“Saya tidak akan ampunkan anda kerana menghina keturunan saya. Balalah kepada kau Azwan Ali,” coret Aishah lagi.
Rata-rata peminat bagaimanapun menasihati Aishah supaya tidak mempedulikan komen daripada Azwan Ali atau popular dengan gelaran Diva AA kerana menganggap dia ‘sakit’ dan hanya inginkan perhatian.
Terdahulu, Aishah tersingkir daripada pada minggu keempat program All Stars Gegar Vaganza musim ke-10 (GV10) ketika berduet dengan Vince menerusi lagu Terlanjur Cinta.
Nama Aishah bagaimanapun menjadi panas apabila dilabel sebagai penyanyi tidak profesional oleh netizen apabila dia sepertinya tidak berpuas hati apabila disingkirkan seawal minggu keempat pertandingan terbabit.
“Rasanya ramai yang gembira apabila doa mereka dimakbulkan untuk lihat saya tersingkir,” katanya.
Azwan menerusi aplikasi X memuat naik status berbaur kasar dengan penyingkiran Aishah berbunyi: ” Si skirt tiga kali Jumaat (merujuk Aishah) tersingkir. Padan muka. Kau pergi melalak depan keturunan bangsat kau.”
Sumber: Kosmo