PUTRAJAYA: Dua pengawal keselamatan warga asing ditahan semalam selepas didapati menggunakan kad pengenalan (MyKad) rakyat tempatan untuk mendapatkan pekerjaan.
Suspek berusia 21 dan 23 tahun berasal dari Indonesia serta Filipina itu ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ketika sedang bekerja di sekitar Alam Damai, Kuala Lumpur, kira-kira jam 6 petang.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek memperoleh kad pengenalan terbabit dengan meminjam daripada kenalan mereka tanpa sebarang bayaran, bertujuan mendapatkan pekerjaan.
Sumber JPN berkata, dua suspek terbabit sudah menggunakan kad pengenalan berkenaan antara enam bulan hingga dua tahun sebagai identiti mereka.
“Mereka yang ditahan kini dalam proses penyiasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.
Sumber: Berita Harian