Dibiar Meniarap Selama Sejam, Punca Bayi Dua Bulan Maut Di Tangan Pengasuh

0
155
Foto: Kosmo

PETALING JAYA – Seorang pengasuh wanita ditahan polis bagi membantu siasatan kematian seorang bayi perempuan berusia dua bulan di sebuah taska di Kota Damansara, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, wanita berusia 40-an ditahan selepas dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 3 petang semalam.

Katanya, pengasuh warga asing yang berkahwin dengan warga tempatan itu dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

“Kita masih menunggu laporan penuh hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap bayi berkenaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai memberikan ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

Menurut perkongsian ibu mangsa @asharosli di Instagram, kejadian berlaku pada hari kedua iaitu pada 10 September, puteri keduanya, Qaseh Aulia Faizul berusia dua bulan, dihantar ke sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara.

Dia mendakwa, puterinya dikatakan tidak sedarkan diri dipercayai berpunca kesukaran bernafas kerana dibiarkan dalam keadaan meniarap tanpa pengawasan selama sejam.

“Dengan keadaan dibedung, posisi meniarap membuatkan sukar untuk bernafas. Tengok rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), hampir 10 minit Aulia berjuang.

“Cuma mungkin terkilan dengan pengakhiran Aulia disebabkan sikap cuai,” tulisnya.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here